Diterbitkan pada 11 April 2026, 09:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru ­­­­­– Jerayawara Program Parlimen Belia Malaysia (PBMy) Siri Ke-6 telah berlangsung di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Baru hari ini.

Program ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah PBMy ke seluruh negara yang bertujuan memperkenalkan inisiatif pembangunan belia oleh Parlimen Malaysia serta memupuk kefahaman terhadap proses legislatif dan pentadbiran negara.

Sehingga kini, sebanyak 13 buah parti belia telah berjaya ditubuhkan manakala rekod jumlah pendaftaran keahlian kini mencecah sebanyak 9,588 orang ahli.

Selain itu, perkembangan ini merupakan langkah persediaan awal bagi menghadapi Pilihan Raya PBMy yang dijangka berlangsung pada Julai 2026.

Terdahulu, program dimulakan dengan Sesi Dialog Jerayawara bersama Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia merangkap Pengerusi PBMy, YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Husaini Abdul Rahman.

Pelbagai pengisian dan penerangan lanjut berkenaan PBMy serta sesi soal jawab bersama-sama dengan ahli PBMy dilangsungkan sepanjang sesi dialog dilaksanakan.

Pelajar IPT yang hadir mendengarkan penerangan salah sebuah parti belia PBMY

Seterusnya, majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa PBMy kini diperkasakan terus di bawah Parlimen Malaysia sebagai satu mekanisme latihan kepimpinan yang serius.

“Platform ini bukan sekadar simbolik, namun merupakan satu mekanisme sebenar untuk melatih generasi pemimpin negara dengan nilai integriti, disiplin dan kefahaman terhadap sistem demokrasi,” tegas beliau.

Selaras dengan aspirasi kepimpinan Parlimen Malaysia, PBMy berperanan sebagai medan pendedahan awal kepada belia untuk mendalami dunia politik secara berstruktur.

Langkah ini penting bagi melahirkan barisan kepimpinan masa hadapan yang berwibawa demi kelangsungan masa depan negara.

Yang turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Sekretariat Parlimen Belia, YBrs. Encik Muhammad Radzi Ab Rahman dan Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru, YBhg. Datuk Wira Sheikh Ahmad Nafiq Al-Firdaous.

Kredit Foto: Facebook Parlimen Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi