Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan yang berterusan oleh rejim Zionis Israel terhadap Lubnan. Demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra petang semalam.
Menurut kenyataan tersebut, tindakan pencerobohan yang berulang ini merupakan pencabulan nyata terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan, serta pelanggaran terus terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
“Peningkatan konflik ini juga menggugat secara serius perjanjian gencatan senjata selama dua minggu yang dicapai antara Amerika Syarikat dengan Iran, serta mengancam untuk mengheret rantau tersebut ke dalam konflik yang lebih luas,” menurut kenyataan tersebut.
Pencerobohan ini akan menjejaskan usaha diplomatik semasa, serta berisiko mengakibatkan ketidakstabilan menyeluruh di Asia Barat, dengan implikasi buruk terhadap keamanan dan keselamatan global.
Malaysia menggesa komuniti antarabangsa, termasuk UNSC, untuk mengambil tindakan segera dan tegas bagi memastikan rejim Zionis Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan. Tindakan Israel ini mesti dihentikan segera bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa yang tidak berdosa dan bagi melindungi kedaulatan Lebanon.
Malaysia menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan dan rakyat Lubnan, dan kekal teguh dengan pendiriannya bahawa keamanan hanya boleh dicapai melalui penghentian semua serangan dan persengketaan selain komitmen jitu terhadap penyelesaian diplomatik yang aman.