Diterbitkan pada 9 April 2026, 10:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya — Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan peranan kritikal Kementerian Pengangkutan sebagai antara tunjang utama dalam memastikan kestabilan ekonomi negara, khususnya dalam mendepani cabaran krisis tenaga global dan ketidaktentuan geopolitik semasa.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama-sama dengan warga Kementerian Pengangkutan bersempena dengan Perhimpunan Bulanan kementerian itu yang berlangsung di Dewan Sentral RAC, pagi tadi.

Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke, barisan kepimpinan tertinggi kementerian serta warga kerja yang mengikuti secara fizikal dan dalam talian.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan terhadap komitmen penjawat awam di kementerian tersebut yang disifatkan memainkan peranan langsung dalam kehidupan seharian rakyat.

“Hampir seluruh rakyat terlibat dengan fungsi Kementerian Pengangkutan setiap hari, sama ada melalui penggunaan jalan raya, kenderaan atau sistem pengangkutan awam. Oleh itu, kecekapan dan keberkesanan kementerian ini memberikan kesan besar kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa sektor pengangkutan berkaitan rapat dengan pelbagai aspek ekonomi termasuk kos pertanian, harga barang dan rantaian bekalan, sekali gus menjadikan kementerian itu sebagai antara nadi penting dalam pentadbiran negara.

Mengulas situasi global, Perdana Menteri menyentuh konflik berpanjangan di Asia Barat yang melibatkan serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran, yang menurutnya telah memberikan kesan besar kepada pasaran tenaga dunia.

Katanya, gangguan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz telah meningkatkan kos logistik termasuk insurans dan caj pengangkutan, sekali gus memberikan impak kepada harga minyak yang diimport negara.

“Walaupun kapal Malaysia, termasuk milik PETRONAS, berjaya melalui laluan tersebut hasil hubungan diplomatik yang baik, kos yang ditanggung meningkat berikutan premium insurans yang melonjak melebihi 100 peratus,” jelas beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa penjawat awam agar memainkan peranan aktif dalam memberikan penjelasan tepat kepada rakyat, selain menangkis maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan masyarakat.

“Penjawat awam bukan sekadar melaksanakan dasar, tetapi juga bertanggungjawab menjelaskan fakta sebenar. Kita tidak boleh menghukum atau membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang salah atau separuh benar,” tegasnya.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa ruang perbincangan dan pandangan dari peringkat akar umbi perlu diperkukuh dalam setiap jabatan, bagi memastikan dasar yang dilaksanakan lebih terangkum dan berkesan.

Perdana Menteri turut menyentuh pencapaian ekonomi negara yang disifatkan memberangsangkan, termasuk pertumbuhan yang melebihi unjuran, pelaburan tertinggi dalam sejarah serta kadar inflasi yang terkawal.

Menurutnya, kejayaan tersebut bukan hasil usaha individu atau kepimpinan semata-mata, sebaliknya merupakan hasil kerjasama erat antara penjawat awam, sektor swasta dan seluruh rakyat.

“Namun begitu, kita tidak boleh alpa kerana krisis global yang berlaku di luar jangka boleh memberikan kesan kepada kestabilan ekonomi negara dalam tempoh yang panjang,” katanya.

Beliau turut memetik pandangan pemimpin Asia Barat bahawa tempoh pemulihan sektor tenaga global dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun, sekali gus menuntut persediaan rapi daripada semua pihak.

Dalam konteks domestik, Perdana Menteri menjelaskan bahawa langkah penyasaran subsidi, termasuk bagi bahan api, merupakan antara pendekatan penting bagi mengurangkan tekanan fiskal negara.

Walaupun mengakui terdapat rungutan dalam kalangan rakyat, beliau menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat demi kepentingan majoriti dan kelangsungan ekonomi negara.

“Dasar yang dibuat bukan untuk memuaskan semua pihak dalam jangka pendek, tetapi untuk memastikan negara mampu bertahan menghadapi cabaran masa hadapan,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh isu kenaikan kos diesel yang memberikan kesan langsung kepada sektor pengangkutan dan industri berkaitan, termasuk pelancongan dan pertanian.

Menurutnya, kerajaan sedang mengambil langkah berperingkat untuk menangani isu tersebut melalui bantuan bersasar kepada golongan terjejas seperti petani, nelayan dan pengusaha pengangkutan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan penjawat awam Malaysia yang disifatkan antara terbaik di rantau ini dari segi disiplin dan kecekapan.

Katanya, budaya kerja berpasukan dan kesanggupan untuk melaksanakan tugasan dalam tempoh singkat menjadi antara kekuatan utama jentera pentadbiran negara.

“Prestasi penjawat awam kita membanggakan. Walaupun ada kelemahan kecil, secara keseluruhan kita jauh lebih baik berbanding dengan banyak negara lain,” katanya.

Beliau turut menggesa warga kementerian agar terus mengekalkan momentum reformasi yang sedang dilaksanakan, termasuk usaha membanteras ketirisan dan rasuah.

Menurutnya, dalam tempoh dua setengah tahun lalu, kerajaan berjaya mendapatkan semula kira-kira RM15.5 bilion hasil daripada usaha penguatkuasaan yang lebih tegas.

Mengakhiri ucapannya, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Pengangkutan atas dedikasi dan kerja keras mereka dalam memastikan kelangsungan sistem pengangkutan negara.

“Saya datang bukan sekadar berucap, tetapi untuk mengucapkan terima kasih secara langsung. Sumbangan saudara-saudari bukan sahaja kepada kementerian, tetapi kepada seluruh negara,” katanya.

Kredit Foto: Ketua Setiausaha Negara
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi