Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan akan mengambil tanggungjawab penuh berikutan insiden tragis yang meragut nyawa dua guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis semasa menyertai Program Pendidikan Luar Kampus baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, hadir ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) semalam bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Christopher Ling Jia Siang dan Joey Ling Lin Siang.
Ketika pertemuan bersama-sama keluarga mangsa, YB Fadhlina Sidek menyampaikan ucapan takziah dan memberikan jaminan bahawa proses keadilan akan ditegakkan.
Beliau menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pelajar dan pelatih di bawah tadbirannya.
“Kementerian mengambil tanggungjawab penuh atas kemalangan yang berlaku. Siasatan yang telus, tuntas dan menyeluruh kini sedang dijalankan. Sebarang pelanggaran peraturan akan dikenakan tindakan tegas dan tiada sesiapa yang akan dilindungi,” tegas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Sebagai langkah awal sementara siasatan berlangsung, beberapa pegawai yang terlibat secara langsung dalam penganjuran program luar tersebut telah diarahkan untuk ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.
Langkah ini diambil bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan secara objektif tanpa sebarang gangguan pada peringkat institusi.
Susulan insiden ini, KPM kini sedang meneliti dan menyemak semula semua Prosedur Operasi Standard (SOP) penganjuran aktiviti luar bagi seluruh institusi pendidikan di bawah kelolaannya.
Langkah proaktif ini bertujuan memperkukuhkan aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.
Kematian dua guru pelatih ini merupakan kehilangan besar kepada warga pendidik dan KPM komited memastikan kebajikan keluarga mangsa terus terjaga sepanjang proses ini berlangsung.