Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan garis panduan baharu mengenai etika berpakaian penjawat awam selaras dengan inisiatif penjimatan tenaga di pejabat-pejabat kerajaan.
Menerusi pekeliling terbaharu, kerajaan menetapkan supaya suhu penyaman udara di semua ruang pejabat diselaraskan kepada suhu minimum 24 darjah Celsius.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBrs. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz berkata ketetapan itu selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian UP.723 mengenai Etiket Pakaian dan Penampilan Penjawat Awam.
“Di bawah perenggan 5, Jadual 1 (ii): Pakaian Pegawai Lelaki Ketika Menjalankan Tugas dan perenggan 8, Jadual 2 (ii): Pakaian Pegawai Wanita Ketika Menjalankan Tugas, pemakaian baju batik adalah diwajibkan setiap hari Khamis dan digalakkan dipakai pada setiap hari bekerja sebagai alternatif kepada pakaian pejabat,”
Beliau berkata demikian dalam surat edaran kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang dimuat naik di laman Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam.
YBrs. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan dalam surat edaran tersebut turut menyatakan bahawa pegawai kini dibenarkan untuk memakai baju korporat pada setiap hari kecuali pada hari Khamis. Walau bagaimanapun, kebenaran ini tidak terpakai bagi pegawai yang telah disyaratkan untuk memakai pakaian seragam khas semasa bertugas.
Langkah ini merupakan susulan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 April lalu yang bertujuan untuk mengimbangi aspek keselesaan kakitangan penjawat awam dengan usaha kelestarian alam sekitar melalui penjimatan penggunaan elektrik di premis kerajaan seluruh negara.