Diterbitkan pada 6 April 2026, 08:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Pasukan UKM muncul sebagai juara dalam Kejohanan Thanh Nien International Student Football Tournament 2026 (THACO Cup) di Vietnam.

Bangi – Pasukan bola sepak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta sejarah apabila muncul juara dalam Kejohanan Thanh Nien International Student Football Tournament 2026 (THACO Cup) di Vietnam.

Kejayaan manis ini diraih selepas mereka berjaya menewaskan pasukan tuan rumah yang juga merupakan juara bertahan edisi 2025, Thuy Loi University, menerusi penentuan sepakan penalti.

Dalam perlawanan akhir mendebarkan yang berlangsung di Stadium Universiti Nha Trang itu, kedudukan terikat 1-1 pada waktu sebenar perlawanan. Terdahulu, gol pasukan UKM telah disumbangkan menerusi jaringan Afiq Norizan pada minit ke-25.

Penjaga gol UKM, Adam Haris Herman, bertindak cemerlang dan muncul sebagai wira pasukan apabila beliau berjaya menyelamatkan sepakan penalti terakhir daripada pihak lawan. Tindakan tangkas penjaga gol itu sekali gus memastikan kemenangan 7-6 memihak kepada UKM.

Tujuh sepakan penalti UKM sebelum itu telah berjaya disempurnakan dengan baik oleh barisan pemain, iaitu Aiyubi Nasarudin, Alif Irfan Norsafidahlan, Haris Zafri Hashim, Akmal Afnan Shahridzan, Amirul Fazly Mohd Zamri, Amir Hazman Hanapiah dan Harith Hizamin M. Dasuki.

Lebih membanggakan, kecemerlangan skuad UKM turut diiktiraf apabila membolot anugerah individu utama kejohanan. Adam Haris Herman telah diumumkan sebagai Player of the Match dan Best Goalkeeper. Izrin Ibrahim pula unggul muncul sebagai Top Scorer kejohanan, manakala Amirul Fazly Mohd Zamri dinobatkan sebagai Most Valuable Player.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Profesor Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, yang turut hadir memberikan sokongan di lapangan kejohanan berkata bahawa kejayaan tersebut mencerminkan semangat juang yang tinggi, disiplin serta komitmen luar biasa seluruh pasukan dalam usaha mengharumkan nama UKM dan Malaysia di pentas antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi