Diterbitkan pada 6 April 2026, 19:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya — Kerajaan mempergiat usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan barang kawalan menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu susulan peningkatan risiko akibat krisis tenaga global yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YAB Datuk Amar Haji Fadillah Yusof berkata Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu telah memutuskan pengaktifan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) bagi memperkasa penguatkuasaan serta pemantauan terhadap ketirisan barangan bersubsidi.

Menurut beliau, jawatankuasa tersebut dianggotai oleh beberapa kementerian utama termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sebagai urus setia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, selain pelibatan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bersama agensi penguatkuasaan berkaitan.

“Pengaktifan jawatankuasa ini adalah langkah proaktif bagi memastikan ketirisan dan penyeludupan, khususnya melibatkan bahan api diesel dan petrol, dapat dibanteras secara menyeluruh,” katanya dalam taklimat krisis tenaga global petang tadi.

Beliau memaklumkan mesyuarat pertama JTPAP yang diadakan pada 16 Mac 2026 telah memutuskan supaya kerjasama strategik antara semua agensi diperkukuh menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu yang berkuat kuasa pada tarikh sama.

Sepanjang tempoh pelaksanaan dari 16 Mac hingga 5 April 2026, operasi tersebut telah merekodkan sebanyak 8,148 pemeriksaan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 155 kes telah dihasilkan melibatkan pelbagai barangan kawalan.

Perincian kes menunjukkan sebanyak 60 kes melibatkan diesel dengan nilai rampasan melebihi RM2.1 juta, diikuti 47 kes petrol RON95 bernilai RM51,299 serta 21 kes melibatkan gas petroleum cecair (LPG) dengan rampasan berjumlah RM37,822. Selain itu, 27 kes turut direkodkan melibatkan barangan keperluan asas seperti minyak masak, gula dan tepung gandum.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata satu mesyuarat susulan JTPAP yang diadakan hari ini telah mencapai beberapa keputusan penting bagi memperkemas pelaksanaan operasi tersebut.

Antaranya termasuklah penetapan agensi peneraju bagi tiga sektor utama, iaitu sektor darat yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, sektor sempadan oleh Polis Diraja Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri, serta sektor perairan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Kerajaan juga akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung atau membatalkan kelulusan fleet card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan subsidi diesel nelayan sekiranya berlaku penyalahgunaan.

Selain itu, kawal selia terhadap aktiviti bunkering akan dipertingkatkan, manakala Pasukan Khas Ops Tiris 4.0 Bersepadu akan diwujudkan khusus bagi Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak. Pasukan khas ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Setiausaha Persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, dengan KPDN negeri bertindak sebagai sekretariat.

Dalam usaha memperluas keberkesanan sistem kawalan subsidi, kerajaan turut bersetuju memperluaskan penggunaan fleet card di bawah SKDS kepada sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut beliau, beberapa syor strategik yang dirangka hasil mesyuarat tersebut akan dibentangkan secara berkala kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga dan barangan keperluan negara terus terpelihara.

Mengulas situasi semasa, beliau menegaskan kerajaan sentiasa peka terhadap ketidaktentuan geopolitik global, khususnya konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan dunia serta mencetuskan ketidakstabilan harga tenaga.

“Walaupun berhadapan dengan cabaran ini, kerajaan telah memperkukuh kesiapsiagaan melalui langkah strategik dan bersepadu bagi memastikan keterjaminan bekalan di pasaran tempatan kekal terkawal,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil tindakan segera bagi melindungi kepentingan rakyat serta memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.

Kredit Foto: Tangkap layar Timbalan Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi