Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dunia kewartawanan dan penyiaran negara dikejutkan dengan pemergian mantan wartawan penyiaran terkemuka, Datuk Karam Singh Walia yang dilaporkan meninggal dunia akibat barah hati di kediamannya awal pagi tadi.
Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh adik mendiang, Jasbant Singh yang juga Pengarang Urusan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Media Prima Berhad.
Beliau yang tidak asing lagi dikenali sebagai wartawan alam sekitar dalam segmen Aduan Rakyat di TV3 sentiasa menghiburkan penonton dengan penggunaan peribahasa dan pantun sebagai tanda dagang beliau sebelum mengakhiri sesuatu sesi berita.
Menurut Menteri Komunikasi, Yang Berhormat (YB) Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menyatakan bahawa mendiang sentiasa mewarnai penyampaian berita dengan gaya yang tersendiri.
“Sesiapa sahaja yang menonton Buletin TV3, khususnya dari era 90-an hingga sekitar tahun 2014, pasti cukup mengenali penampilan beliau yang begitu sinonim dengan pantun yang mengakhiri setiap laporan, dengan menampilkan satu identiti unik yang kekal dalam ingatan ramai,” tambah beliau melalui hantaran di laman Facebook miliknya.
Selain itu, YB Fahmi Fadzil turut menyatakan beliau antara yang setia mengikuti laporan mendiang dan amat menghargai dedikasi serta sumbangan mendiang Datuk Karam Singh daalm dunia penyiaran tanah air.
Beliau juga merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang atas kehilangan tersebut dengan ucapan “semoga damai di sana.”