Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPengerang – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini meluncurkan penubuhan Kolej Vokasional Pengerang yang bakal beroperasi dengan menjadikan SMK Tanjung Pengelih sebagai kampus asas, sekali gus memperkukuh agenda pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di kawasan strategik industri minyak dan gas negara tersebut.
Majlis peluncuran itu turut dihadiri Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Undang-undang dan Reformasi Institusi) merangkap Ahli Parlimen Pengerang, YB Dato’ Seri Azalina Othman Said serta Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, bersama-sama barisan kepimpinan kerajaan negeri dan persekutuan.
Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Anwar mengumumkan kelulusan projek bernilai RM100 juta bagi pembangunan kolej berkenaan, yang disifatkan sebagai langkah strategik untuk memenuhi keperluan tenaga mahir dalam sektor minyak dan gas serta industri berteknologi tinggi.
“Pada hari ini, saya meluncurkan dan meluluskan projek bernilai RM100 juta untuk kolej ini yang akan disegerakan kerana Pengerang merupakan kawasan strategik bagi perkembangan industri minyak dan gas negara,” katanya.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan akan menyediakan kerangka awal projek sebelum dirujuk kepada Kementerian Kerja Raya bagi pelaksanaan segera, dengan sasaran menyiapkan pembangunan sebelum tahun 2030.
YAB Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa penubuhan kolej vokasional itu selari dengan keperluan mendesak untuk membangunkan kumpulan bakat tempatan (talent pool) yang berkemahiran tinggi, khususnya dalam sektor industri berat seperti minyak dan gas.
Beliau berkata, tanpa latihan dan pendidikan vokasional yang mantap, negara berisiko terus bergantung kepada tenaga kerja asing bagi memenuhi keperluan industri.
“Kalau tidak, kita sudah ada industri besar, tetapi tenaga profesional dibawa dari luar negara. Oleh sebab itu, latihan TVET mesti diperkasakan kepada anak tempatan,” katanya.
Tambah beliau, sistem pendidikan negara kini memberikan penekanan lebih seimbang antara aliran akademik dengan vokasional, termasuk membuka ruang kepada pelajar TVET untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri menjelaskan bahawa penubuhan kolej itu juga mengambil kira peralihan landskap ekonomi negara yang kini bergerak ke arah industri berteknologi tinggi seperti pusat data, elektronik dan teknologi digital.
Namun begitu, beliau menegaskan sektor tradisional seperti minyak dan gas tetap menjadi kekuatan asas negara yang tidak boleh diketepikan.
“Negara ini berkembang kerana kepelbagaian. Kita tidak boleh hanya fokus kepada satu sektor, tetapi mesti mengimbangi antara industri baharu dengan kekuatan sedia ada,” katanya.
Beliau turut menyentuh peranan syarikat seperti PETRONAS sebagai pemacu utama industri tenaga negara, khususnya di Pengerang yang menjadi hab penting sektor berkenaan.
Perdana Menteri turut menekankan keperluan mempercepat proses birokrasi dalam sistem pendidikan bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam bidang baharu seperti teknologi maklumat dan sains data.
Beliau memberikan contoh universiti tempatan kini mampu memperkenalkan kursus baharu dalam tempoh lebih singkat berbanding dengan sebelum ini, yang diperoleh menerusi reformasi pentadbiran.
“Kita tidak boleh berjaya jika terus dengan cara lama. Kita mesti berubah dengan pantas untuk bersaing pada peringkat global,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh kesan konflik geopolitik global terhadap ekonomi negara, termasuk peningkatan harga minyak, kos logistik dan gangguan rantaian bekalan.
Namun begitu, beliau menzahirkan kesyukuran kerana Malaysia masih berada dalam keadaan lebih stabil berbanding dengan beberapa negara lain di rantau ini.
“Kita bersyukur kerana walaupun berhadapan dengan tekanan, keadaan negara tidak seteruk negara lain. Situasi ini memberikan ruang untuk kita terus merancang dan melaksanakan pembangunan,” katanya.
Mengakhiri ucapan, Perdana Menteri menyifatkan pelajar di SMK Tanjung Pengelih sebagai perintis kepada kejayaan kolej vokasional tersebut dan menyeru mereka untuk mencapai prestasi akademik terbaik.
Beliau turut berinteraksi secara langsung dengan pihak sekolah dan pelajar, termasuk meminta jaminan bahawa pencapaian peperiksaan tahun ini akan menjadi yang terbaik dalam sejarah sekolah.
Peluncuran Kolej Vokasional Pengerang dilihat sebagai langkah signifikan kerajaan dalam memperkukuh pendidikan TVET serta menyokong keperluan industri strategik negara, khususnya di wilayah selatan tanah air yang pesat membangun sebagai hab tenaga dan industri.