Diterbitkan pada 5 April 2026, 11:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang terlibat dalam kemalangan ketika mengikuti Program Pendidikan Luar Kampus pada pagi Sabtu.

Dalam kenyataan media hari ini, KPM memaklumkan bahawa pihak kementerian sedang menguruskan bantuan segera kepada keluarga mangsa bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara. Selain itu, sokongan psikososial turut disediakan kepada ahli keluarga dan rakan pelajar yang terkesan dengan kejadian tersebut.

Dua pelajar yang terkorban dikenal pasti sebagai Christopher Ling Jia Siang dan Joey Ling Lin Siang. Kedua-duanya merupakan pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Jasmani ambilan Ogos 2025/2029 di IPG Kampus Perlis, yang sedang menjalani latihan sebagai bakal guru dalam bidang Sukan dan Kesihatan.

Menurut KPM, aspek kebajikan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat diberikan perhatian serius, selaras dengan komitmen kementerian dalam memastikan sokongan menyeluruh disalurkan dalam situasi getir seperti ini.

“KPM sedang menguruskan bantuan segera kepada keluarga pelajar terlibat. Sokongan psikososial turut disediakan, manakala aspek kebajikan dan kesejahteraan diberikan tumpuan,” menurut kenyataan itu.

Kejadian tersebut kini dalam siasatan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Pada masa yang sama, KPM turut memaklumkan bahawa siasatan dalaman telah dimulakan untuk meneliti tahap pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi aktiviti luar kampus.

Sehubungan dengan itu, semua institusi pendidikan di bawah kelolaan KPM diingatkan agar sentiasa memastikan setiap penganjuran aktiviti luar mematuhi SOP yang berkuat kuasa, khususnya aspek keselamatan peserta.

KPM menegaskan bahawa keselamatan pelajar dan warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi