Diterbitkan pada 3 April 2026, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan memberikan jaminan bahawa bekalan tenaga negara kekal stabil dan mencukupi meskipun dunia kini berhadapan dengan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan rantaian bekalan minyak antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri II, YB Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, gangguan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz telah meningkatkan ketidaktentuan pasaran serta mendorong kenaikan harga minyak dunia.

Menurut beliau, sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terlepas daripada tempias krisis tersebut. Namun begitu, keadaan dalam negara masih terkawal hasil langkah proaktif kerajaan dalam mengurus impak yang timbul.

“Negara berada dalam keadaan bersedia, namun kita perlu terus berwaspada sekiranya krisis ini berlarutan,” katanya dalam taklimat krisis tenaga global petang semalam.

Beliau menjelaskan bahawa keutamaan pertama kerajaan adalah memastikan bekalan petroleum negara sentiasa mencukupi dan stabil. Usaha ini dilaksanakan melalui pemantauan harian rangkaian bekalan dengan kerjasama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) serta pemain industri lain.

“Pelan kontingensi juga telah disediakan termasuk mendapatkan bekalan daripada pasaran alternatif sekiranya gangguan berpanjangan berlaku,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama, kerajaan terus komited melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup dengan mengekalkan harga petrol RON 95 bersubsidi pada RM2.05 seliter. Penyelarasan harga bahan api tidak bersubsidi pula dilakukan secara terkawal dan berperingkat.

Bagi diesel, kerajaan menyediakan perlindungan melalui beberapa skim termasuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi Sektor Pengangkutan (SKPS), selain bantuan tunai Budi Diesel sebanyak RM300 sebulan kepada individu yang layak.

Selain itu, kerajaan turut mengekalkan had kuota RON 95 sebanyak 800 liter sebulan bagi pemandu e-hailing bagi memastikan kos operasi mereka tidak meningkat secara mendadak.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata kerajaan juga mempergiat sesi libat urus dengan pemain industri bagi mendapatkan maklum balas secara masa nyata serta menyelaras tindakan dengan pantas.

“Langkah ini penting untuk memastikan kestabilan bekalan dan pasaran terus terpelihara,” katanya.

Dalam usaha membendung kenaikan harga barangan, kerajaan turut melaksanakan pemantauan harga secara harian di seluruh negara serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga secara tidak munasabah. Bekalan makanan asas pula dilaporkan kekal mencukupi.

Sebagai langkah jangka pendek dalam pengurusan tenaga, kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif penjimatan tenaga pada peringkat nasional. Antaranya termasuk pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam secara berperingkat bermula 15 April ini.

Di samping itu, kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan akan diperketatkan dengan menetapkan suhu penghawa dingin minimum pada 24 darjah Celsius. Penjawat awam juga digalakkan memakai pakaian yang lebih sesuai dengan iklim tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan tenaga yang tinggi.

“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memimpin melalui teladan dalam penggunaan tenaga secara berhemah,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, kerajaan komited untuk terus menyalurkan maklumat terkini kepada rakyat secara telus dan berkala. Orang ramai turut diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan.

Mengakhiri taklimat, beliau menyeru semua pihak termasuk komuniti perniagaan dan rakyat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menggunakan tenaga secara berhemah serta mengelakkan pembaziran.

“Dalam menghadapi cabaran global seperti ini, kekuatan kita terletak pada disiplin, kerjasama dan keyakinan bersama. Dengan usaha bersama, Malaysia akan terus kekal stabil dan berdaya tahan,” katanya.

Kredit Foto: Tangkap layar Taklimat Krisis Tenaga Global
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi