Diterbitkan pada 2 April 2026, 20:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Pilah – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda, Kuala Pilah pada hari ini berjaya menghimpunkan sebanyak 159 pelajar dari sekolah rendah dan sekolah menengah serta 22 guru pengiring dari pelbagai sekolah di sekitar daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Sambutan yang memberangsangkan ini memperlihatkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan warga sekolah terhadap kepentingan bahan bacaan bermutu sebagai alat bantu pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah ini memberikan penekanan kepada penggunaan majalah terbitan DBP, khususnya Dewan Pelajar dan Dewan Siswa sebagai sumber ilmu yang menyokong pengajaran bahasa Melayu dan berpotensi menyemarakkan minat membaca dan menulis dalam kalangan pelajar.

Peserta Program Kembara Majalah Dalam Kelas Dewan Pelajar.
Peserta Program Kembara Majalah Dalam Kelas Dewan Siswa.

Pengisian Program Kembara MDK ini dijalankan secara menyeluruh dengan pelibatan pelajar dan guru yang merangkumi tiga komponen utama, iaitu MDK Dewan Pelajar, MDK Dewan Siswa dan Bengkel MDK untuk Guru bagi mencipta pengalaman pembelajaran yang aktif dan kreatif.

Program Kembara MDK Dewan Pelajar dan MDK Dewan Siswa telah dirasmikan oleh Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar. 

“Program Kembara MDK ini penting kerana dapat memberikan bimbingan kepada pelajar sekolah tentang penggunaan majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa dalam meningkatkan penguasaan bahasa Melayu serta penghasilan karya yang berkualiti,” ujar beliau.

Antara aktiviti yang dilakukan ketika MDK Dewan Pelajar yang melibatkan 76 murid sekolah rendah termasuklah menukarkan komik kepada cerpen dan kuiz menara belon.

Selain itu, terdapat juga aktiviti selingan, iaitu mencipta pantun yang memberikan peluang kepada murid untuk mengekspresikan idea secara kreatif melalui penggunaan bahasa yang indah dan tersusun.

YBrs. Dr. Rosmani Omar memberikan hadiah kepada peserta kumpulan tiga, MDK Dewan Pelajar yang memenangi tempat pertama dalam aktiviti yang dilaksanakan.

MDK Dewan Siswa yang disertai oleh 83 pelajar sekolah menengah pula melaksanakan aktiviti seperti menghasilkan puisi, cerpen dan esei yang mengetengahkan pelbagai tema yang menarik seperti teknologi maklumat, alam sekitar dan kemanusiaan. 

Pengisian ini selari dengan keperluan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya dalam aspek penulisan dan pemahaman, sekali gus membantu pelajar mengukuhkan penguasaan bahasa serta meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan analitikal.

YBrs. Dr. Rosmani Omar memberikan hadiah kepada peserta kumpulan lima, MDK Dewan Siswa yang memenangi tempat pertama dalam aktiviti yang dilaksanakan.

Sementara itu, Bengkel MDK untuk Guru yang dikendalikan oleh Perancang Bahasa, Bahagian Perkamusan, Puan Fansurina Ramli telah memberikan pencerahan kepada guru tentang pentingnya majalah sebagai bahan bantu mengajar di dalam kelas.

“Aktiviti membina soalan berdasarkan komik ini eloklah dijalankan di dalam kelas kerana dapat melatih murid untuk berfikir dengan lebih kritis,” ujar Encik Zulkifli Musa dari Sekolah Kebangsan (SK) Ampang Tinggi.

Bengkel MDK untuk guru juga memberikan pendedahan kepada guru tentang aktiviti yang boleh dilaksanakan menggunakan majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa seperti membina ayat berdasarkan komik, menulis cerita pendek, mencipta pantun berdasarkan rencana atau gambar dan banyak lagi.

Peserta Bengkel Majalah Dalam Kelas untuk Guru.

Menurut Puan Faziyaton Ab Razak dari Sekolah Kebangsaan Pusat Juasseh, “Saya boleh mengaplikasikan aktiviti bengkel pada hari ini ketika pengajaran di dalam kelas pada masa akan datang.”

“Saya berharap agar program ini dapat diperluas dan diperkasakan lagi ke pelbagai sekolah di seluruh negeri bagi memberikan pendedahan tentang pentingnya menghidupkan penggunaan majalah sebagai bahan bantu mengajar di dalam kelas,” ujar Puan Faziyaton Ab Razak.

Pada masa yang sama, Puan Nur Farzana Mohd Fadzil dari Sekolah Kebangsaan Yamtuan Lenggang, Tanjung Ipoh menzahirkan minat dan keterujaannya terhadap bahan bacaan seperti majalah yang masih hidup dan berkembang pada zaman digital ini.

“Sebenarnya, saya suka membaca, namun pada zaman kini majalah dan surat khabar semakin berkurangan. Oleh itu, apabila saya dapat membaca majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa yang disediakan ini, saya berasa sangat seronok.” ujarnya.

Menurut Puan Nur Farzana Mohd Fadzil, beliau sangat menggemari aktiviti merumuskan komik kepada bentuk cerpen kerana dapat membina kemahiran berfikir serta menulis kepada  para pelajar. 

Katanya lagi, Program MDK ini diharapkan dapat diperbanyak lagi kerana aktiviti yang diperkenalkan ini sangat menarik untuk diajarkan di dalam kelas. Selain itu, majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa merupakan bahan bantu mengajar yang sangat fleksibel untuk dibawa ke mana-mana sahaja.

Program Kembara MDK di Kompleks Rakan Muda, Kuala Pilah ini merupakan antara pengisian bagi acara Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 Peringkat Zon Tengah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi