Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) mula berkuat kuasa semalam, menandakan satu usaha penting kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus serta melindungi kebajikan tenaga kerja dalam ekonomi gig yang semakin berkembang di Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Dato Sri R. Ramanan dalam siaran media perasmian Akta Pekerja Gig 2025 di Menara PERKESO semalam, berkata “Pelaksanaan akta ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk membina ekosistem pekerjaan masa hadapan yang lebih adil, inklusif dan berdaya tahan, sejajar dengan perkembangan pesat ekonomi digital.”
Akta ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 1.64 juta pekerja gig di seluruh negara dengan menyediakan kerangka perundangan yang komprehensif.
Perkara ini termasuklah dari aspek ketelusan perjanjian perkhidmatan, kepastian bayaran, perlindungan daripada diskriminasi serta akses kepada mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih tersusun melalui kerjasama Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia dan Tribunal Pekerja Gig.
Selain itu, perlindungan keselamatan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan turut diperkukuh tanpa menjejaskan fleksibiliti yang menjadi ciri utama model pekerjaan gig.
Menurut kenyataan bagi siaran media yang berlangsung semalam, Majlis Perundingan Gig (MPGiG) ditubuhkan sebagai mekanisme tiga pihak (tripartit) yang melibatkan wakil kerajaan, pekerja gig dan penyedia kontrak bagi memperkemas tadbir urus sektor ini.
Majlis ini akan menasihati kerajaan dalam penetapan kadar pendapatan minimum serta standard berkaitan sektor, berasaskan data dan keperluan semasa pasaran.
Seramai 26 anggota MPGiG telah dilantik dan mesyuarat pertama dijadualkan berlangsung pada 3 April 2026.
Pada masa yang sama, Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) juga telah ditubuhkan sebagai badan penyelaras tunggal bagi memastikan pelaksanaan dasar, pemantauan industri serta pembangunan ekosistem gig dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.
Akta ini turut memperkenalkan sistem pengurusan aduan yang lebih sistematik melalui platform eAduan Kementerian Sumber Manusia, membolehkan pekerja gig mengemukakan aduan berkaitan bayaran, penggantungan akaun atau pelanggaran perjanjian, dengan sasaran penyelesaian dalam tempoh maksimum 21 hari bekerja bergantung kepada kompleksiti kes.
Penguatkuasaan akta ini akan dilaksanakan secara bersepadu oleh agensi berkaitan termasuk Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta PERKESO, dengan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang.
Pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 meletakkan Malaysia sebagai antara negara terawal di rantau ini yang memperkenalkan perundangan khusus bagi sektor gig, sekali gus berpotensi menjadi rujukan di peringkat serantau dan global.