Diterbitkan pada 26 Mac 2026, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghadiri Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), semalam.

Beliau menyatakan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat, pengorbanan serta kesediaan yang dipupuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga Malaysia berjaya mengekalkan prestasi sebagai sebuah negara yang aman.

“Di sebalik hiruk-pikuk yang berlaku di dunia, Malaysia masih diiktiraf antara negara paling aman. Harus kita akui bahawa kejayaan ini merupakan hasil peranan besar pasukan keselamatan, termasuk PDRM,” ujar beliau.

Beliau menegaskan bahawa pasukan PDRM perlu terus mengekalkan tahap integriti dan profesionalisme yang tinggi bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan kekal utuh.

Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah dan jenayah, selain memberikan jaminan bahawa tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Perdana Menteri menekankan bahawa keamanan yang dinikmati Malaysia pada ketika ini tidak akan tercapai tanpa pengorbanan serta dedikasi anggota polis.

Sehubungan dengan itu, reformasi undang-undang perlu diteruskan bagi memastikan sistem perundangan negara sentiasa adil dan tidak dipengaruhi oleh kelompok berkepentingan.

Beliau turut memuji keberanian pihak berkuasa dalam menumpaskan sindiket jenayah dan rasuah berskala besar yang telah beroperasi selama puluhan tahun tanpa tindakan menyeluruh.

Antara sindiket yang berjaya ditumpaskan termasuk di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Sindiket-sindiket haram yang telah beroperasi puluhan tahun berjaya dipatahkan kerana profesionalisme, tekad dan keberanian PDRM hari ini,” ujar beliau.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika memberikan ucapan semasa Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), semalam.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus memberikan sokongan penuh kepada PDRM serta agensi lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi memastikan usaha membanteras jenayah dan rasuah dapat dilaksanakan secara berkesan dan bebas daripada tekanan luar.

Selain aspek penguatkuasaan, beliau berkata kerajaan juga memberikan perhatian terhadap kebajikan anggota polis termasuk usaha menambah baik kemudahan, perumahan serta kelengkapan pasukan yang sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kurang memuaskan.

Beliau juga memaklumkan bahawa kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam akan mempertingkatkan program latihan penjawat awam termasuk anggota polis bagi memastikan tahap profesionalisme pasukan terus diperkukuh.

“Kerajaan mengambil perhatian yang serius terhadap latihan dan kebajikan anggota polis bagi memastikan tahap profesionalisme mereka terus dipertingkatkan,” ujar Perdana Menteri.

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh perkembangan geopolitik semasa yang berpotensi memberikan kesan kepada keselamatan dan ekonomi negara, termasuk konflik di Timur Tengah yang boleh menjejaskan kestabilan rantau dan harga tenaga dunia.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan pasukan keselamatan supaya sentiasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan tidak memandang ringan terhadap sebarang ancaman luar walaupun Malaysia berada dalam keadaan aman.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru seluruh warga PDRM untuk terus mempertahankan integriti dan martabat pasukan serta menjadikan sambutan Peringatan Hari Polis sebagai satu amanah besar dalam menjaga keamanan, kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara.

Turut hadir pada sambutan tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi