Diterbitkan pada 26 Mac 2026, 12:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) muncul juara dalam perlawanan bola sepak “Bola Raya 2026” selepas berjaya menewaskan pasukan Pilihan Veteran Perlis dengan keputusan jaringan 3-2 di Stadium Tuanku Syed Syed Putra, semalam.

Kemenangan PPKL dijaringkan menerusi putera Raja Muda Perlis,Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, iaitu Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail Putra Al-Haj Jamalullail, selain gol daripada Wan Khairul Fitri Kamarudin dan Muhammad Hazwan Rahman.

Dalam perlawanan tersebut, pasukan Pilihan Veteran Perlis bangkit dengan jaringan yang dilakukan oleh Firdaus Mansor dan Megat Tarmizi Hamdan, tetapi gagal mengejar kedudukan selepas ketinggalan tiga gol pada awal permainan.

Perlawanan diserikan lagi dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, DYTM, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi menyempurnakan sepak mula, di samping menyampaikan hadiah kepada para pemain.

PPKL dinobatkan sebagai juara dalam perlawanan bola sepak “Bola Raya 2026” selepas berjaya menewaskan pasukan Pilihan Veteran Perlis.

Berangkat bersama-sama baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri baginda, DYAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Yang DiPertua PPKL, YBhg. Datuk Md Silmi Abd Rahman memaklumkan kepada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mengenai penganjuran Majlis Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M pada peringkat persatuan.

Majlis tersebut bakal diadakan pada 12 April 2026 (Ahad) bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 1.00 petang bertempat di The Gabion Garden Hall, Setapak, Kuala Lumpur.

YBhg. Datuk Md Hilmi Abd Rahman turut mengambil kesempatan menjemput semua ahli PPKL bersama-sama ahli keluarga masing-masing hadir beramai-ramai bagi memeriahkan majlis tersebut.

“PPKL sentiasa komited memperkukuh komuniti anak-anak Perlis di Kuala Lumpur. Majlis ini bukan sekadar sambutan perayaan, malah menjadi ruang untuk memperkasakan jaringan hubungan warga Perlis di ibu kota,” jelas beliau.

Mengulas mengenai sejarah “Bola Raya”, beliau berkongsi bahawa acara tersebut tidak sekadar medan pertandingan, malah merupakan platform bermakna untuk anak perantauan berhimpun sejak lebih 30 tahun lalu hasil ilham dan usaha DYTMTuanku Syed Faizuddin Putra sendiri ketika baginda menyandang jawatan portfolio Belia dan Sukan dalam Jawatankuasa PPKL di ibu kota suatu ketika dahulu.

“Program ini turut memberikan peluang untuk mengeratkan silaturahim, ukhuwah, serta mengukuhkan hubungan persaudaraan dalam kalangan anak-anak Perlis, khususnya yang berada di perantauan,” tambahnya lagi.

YBhg.Datuk Md Hilmi Abd Rahman berharap agar pertandingan tersebut bukan sahaja menjadi medan menunjukkan kebolehan, tetapi juga sebagai inspirasi dan motivasi agar ahli kekal aktif dalam sukan serta program yang berkaitan dengan PPKL pada masa hadapan.

Kredit Foto: MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi