Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Program MADANI Rakyat (PMR) diteruskan lagi penganjurannya buat tahun ketiga dan penganjuran kali ini dimulakan di negeri Perak Darul Ridzuan.
Program ini dijadualkan akan berlangsung di Bulatan Azlan Shah, Persiaran Meru bermula 3 hingga 5 April 2026.
Selain itu, penganjuran PMR 2026 ini membawa tema khusus iaitu “Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni” yang mencerminkan aspirasi kerajaan dalam mengimbangi pembangunan fizikal dan kesejahteraan sosial masyarakat.
Penganjuran PMR Perak kali ini menawarkan pelbagai pengisian menarik kepada pengunjung merangkumi perkhidmatan kerajaan, inisiatif kesejahteraan rakyat dan perkhidmatan kesihatan. Antara tarikan yang dinantikan orang ramai ialah Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro Madani yang menawarkan barangan keperluan pada harga mampu milik.
PMR 2026 juga turut menawarkan pelbagai reruai menarik antaranya reruai peluang pekerjaan, festival makanan tempatan serta program pertukaran topi keledar dan minyak enjin motosikal secara percuma bakal memeriahkan penganjuran kali ini. Perkhidmatan gunting rambut, pengagihan biji benih serta anak pokok, pameran aset pertahanan dan pelbagai aktiviti kekeluargaan juga bakal menjadi tarikan orang awam untuk hadir ke PMR kali ini.
Seperti mana penganjuran PMR sebelum ini, PMR 2026 Perak ini juga menjadi platform dalam membuka ruang interaksi antara Kerajaan dan rakyat secara lebih terangkum dan terbuka. Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijadualkan bagi menyempurnakan Majlis Perasmian pada 4 April 2026, sekali gus memberikan ruang dan peluang rakyat untuk bertemu mata dengan kepimpinan tertinggi negara.
PMR merupakan program andalan di bawah kendalian Pejabat Perdana Menteri yang digerakkan melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku sekretariat induk dengan kerjasama strategik bersama kementerian atau agensi dan kerajaan negeri.