Diterbitkan pada 26 Mac 2026, 10:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru rakyat Malaysia untuk sentiasa waspada dengan cuaca panas melampau yang melanda Malaysia.

Menteri Kesihatan Yang Berhormat (YB) Dr. Dzulkefly Ahmad, menyatakan setakat tahun 2026, sebanyak 15 kes berkaitan dengan cuaca panas telah dilaporkan.

“Laporan yang diterima KKM melibatkan kelesuan haba, kejang haba dan strok haba termasuk satu kes kematian yang sangat menyedihkan melibatkan seorang kanak-kanak beberapa hari lalu,” ujar beliau dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya.

Selain itu, pihak KKM turut memperingatkan orang ramai untuk lebih peka terhadap keadaan sekeliling termasuk mengawasi tanda awal strok haba seperti pening berpanjangan, rasa dahaga yang luar biasa dan suhu badan yang semakin meningkat.

“Perkara paling utama dan penting, jangan sesekali meninggalkan anak-anak atau sesiapa sahaja di dalam kenderaan tanpa pengawasan walaupun untuk seminit. Kanak-kanak dan warga emas antara golongan yang mudah berisiko dengan strok haba,” tegas Menteri Kesihatan, YB Dr. Dzulkefly Ahmad.

Pada masa yang sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Perlis berada pada Tahap Amaran 1 iaitu suhu maksimum harian antara 35 sehingga 37 darjah Celsius bagi tiga hari berturut-turut bermula hari ini.

Tambahan lagi kawasan-kawasan di Kedah seperti Pokok Sena, Pendang dan Baling dilaporkan berada pada Tahap Amaran 2 dengan suhu melebihi 37 sehingga 40 darjah Celsius dalam tempoh yang sama.

Sehubungan dengan itu, KKM menggalakkan penggunaan pelindung kepala seperti payung atau topi,  pemakaian pakaian yang ringan serta mengurangkan aktiviti fizikal dan lasak untuk mengurangkan risiko penyakit berkaitan haba.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi