Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM)Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama dengan putera baginda, DYAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan bagi menyantuni mangsa kebakaran di Taman Kemajuan, pagi tadi.
Dalam kunjungan tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan titah salam takziah daripada Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kepada semua mangsa yang terlibat dengan kebakaran.
Keberangkatan yang berlangsung pada hari kelima sambutan Aidilfitri (5 Syawal 1447H) itu secara jelas mencerminkan keprihatinan tinggi pihak istana terhadap kebajikan dan nasib rakyat yang diuji musibah.
Pada masa yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan menyampaikan sumbangan awal daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada tiga daripada lima keluarga yang terkesan dengan kebakaran.
Sumbangan tersebut diagihkan untuk meringankan bebanan yang dihadapi oleh mangsa kebakaran dalam menguruskan keperluan asas pasca-kejadian dengan lebih teratur.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar masyarakat perlu mempersiapkan diri menghadapi situasi sukar seumpama itu dengan mempertingkatkan tahap keselamatan perkakasan serta sistem pendawaian elektrik di kediaman masing-masing.
“Orang ramai perlulah memastikan peralatan serta bahan mudah terbakar berada dalam keadaan terkawal, sekali gus meningkatkan kewaspadaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berulang,” ujar baginda.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor menekankan kepentingan memiliki perlindungan takaful kebakaran yang mudah didapati di pasaran sebagai langkah proaktif dan bijak yang mampu meringankan beban kewangan mangsa sekiranya berhadapan dengan sebarang bencana luar jangkaan pada masa hadapan.
Lawatan tersebut diakhiri apabila baginda menyantuni sebahagian mangsa bagi memberikan sokongan moral sebelum berangkat meninggalkan lokasi kejadian berkenaan.