Diterbitkan pada 17 Mac 2026, 13:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya — Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan bahawa sesi persekolahan di seluruh negara berjalan seperti biasa dan tiada sebarang keputusan dibuat berhubung dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), susulan kebimbangan masyarakat terhadap berita yang tular kebelakangan ini.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia memaklumkan bahawa KPM mengambil maklum atas segala kegusaran yang dibangkitkan oleh orang ramai berhubung dengan kemungkinan pelaksanaan semula PdPR, namun setakat ini tiada ketetapan sedemikian dibuat.

Menurut kenyataan itu, keutamaan kementerian adalah untuk memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas, di samping menjamin kebajikan serta kesejahteraan semua pihak termasuk pelajar, guru dan warga sekolah.

“KPM ingin memaklumkan bahawa pada masa ini sesi persekolahan berjalan seperti biasa. Tiada sebarang ketetapan dibuat berkaitan dengan pelaksanaan PdPR,” menurut kenyataan tersebut.

Penjelasan itu dibuat susulan pengumuman KPM berhubung dengan pemberian cuti tambahan bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, yang telah mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat termasuklah andaian bahawa sesi pembelajaran mungkin akan dialihkan ke kaedah PdPR.

Sebelum ini, KPM mengumumkan satu hari cuti tambahan pada 18 Mac 2026 (Rabu) kepada semua sekolah di seluruh negara bagi memberikan ruang kepada warga pendidikan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, berdasarkan Kalendar Akademik Sesi 2026, sekolah-sekolah dalam Kumpulan A turut diperuntukkan satu hari cuti tambahan pada 19 Mac 2026 (Khamis), manakala sekolah dalam Kumpulan B diberikan dua hari cuti tambahan, iaitu pada 19 dan 20 Mac 2026 (Khamis dan Jumaat).

Langkah tersebut diambil sebagai usaha memastikan kesejahteraan warga sekolah terpelihara, khususnya dalam menghadapi musim perayaan yang lazimnya melibatkan pergerakan pulang ke kampung halaman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi