Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBaru-baru ini, sebuah keratan akhbar yang pernah disiarkan pada tahun 1988 menjadi tular dalam media sosial. Keratan akhbar itu memaparkan sekumpulan guru Matematik yang membuat protes di jalanan kerana pelajar sekolah rendah menggunakan kalkulator untuk menyelesaikan soalan Matematik yang sepatutnya dikira secara manual. Fenomena tersebut dikaitkan dengan kewujudan kecerdasan buatan (AI) pada masa kini. Sebagai seorang pensyarah universiti, penulis tidak menafikan bahawa penggunaan AI yang semakin meluas kini telah menjadi alat yang penting dalam bidang pendidikan.
Namun begitu, penulis berasa kecewa apabila melihat banyak pelajar menggunakan AI untuk menyelesaikan tugasan mereka tanpa berfikir bersama-sama dengan teknologi tersebut. Mereka tidak memanfaatkan AI untuk memperkasakan cara berfikir, sebaliknya menggunakan AI seakan-akan “robot” yang hanya menurut arahan. Jika fenomena ini berterusan, AI berpotensi untuk melemahkan nilai modal insan dalam kalangan generasi muda.
Kehidupan bersama-sama dengan AI merupakan suatu realiti yang tidak dapat dielakkan. Malah, statistik meramalkan bahawa menjelang tahun 2027, sektor pendidikan di seluruh dunia akan membelanjakan sekitar 20 bilion USD untuk meningkatkan integrasi teknologi AI dalam proses pengajaran dan pembelajaran, dengan peningkatan sebanyak 45 peratus setiap tahun. Oleh itu, setiap remaja perlu memanfaatkan AI untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran, memperluas akses kepada ilmu pengetahuan, serta membentuk kemahiran abad ke-21 yang relevan dengan keperluan pasaran global.
Tidak dinafikan bahawa penggunaan AI memberikan banyak manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan. AI mampu mencadangkan bahan pembelajaran dan penilaian kendiri yang sesuai dengan tahap kefahaman dan kemampuan pelajar. Dahulu, kita terpaksa pergi ke kedai buku untuk mencari buku rujukan atau buku latihan bagi menguji kefahaman kita. Kadangkala, buku latihan yang tersedia terlalu mudah, tidak mencabar kemampuan kita, sementara ada juga yang terlalu sukar. Namun begitu, dengan adanya AI, kita dapat menyesuaikan latihan mengikut kemampuan dan keperluan kita.
Selari dengan pandangan ahli falsafah Martha Nussbaum dalam bukunya Not For Profit, beliau menekankan pentingnya kaedah Sokratik dalam pembelajaran, khususnya pada peringkat pengajian tinggi. Kaedah ini bukan sahaja dapat menajamkan kemahiran berhujah, tetapi juga meningkatkan keupayaan berfikir secara kritis, yang merupakan kemahiran terpenting dalam setiap industri pada abad ke-21. Oleh itu, AI boleh digunakan sebagai lawan debat untuk menguji sejauh manakah kita memahami sesuatu isu dan bagaimanakah kita mampu mempertahankan pendirian tersebut?
Antara kelebihan AI termasuklah kemampuannya untuk memberikan maklum balas terhadap setiap pertanyaan yang diajukan. Kelebihan ini merupakan pelengkap kepada kebaikan AI dalam bidang pendidikan. Setelah membuat latihan atau berdebat dengan AI, kita dapat merumuskan pencapaian kita dengan memberikan maklum balas yang konstruktif. Secara tradisional, kita hanya menerima maklum balas daripada guru, yang bersifat subjektif dan boleh berubah mengikut keadaan. Namun begitu, dengan AI, maklum balas yang diberikan lebih objektif kerana AI tidak terpengaruh oleh perasaan. Namun begitu, kita harus berhati-hati agar penggunaan AI tidak menjejaskan manfaatnya kepada masyarakat.
Apabila manusia terlalu bergantung kepada AI untuk menyelesaikan tugasan, terdapat risiko untuk meningkatkan keyakinan yang tidak berasas, atau dalam psikologi dikenali sebagai kesan Dunning-Kruger. Kajian yang diterbitkan dalam Computers in Human Behavior (Februari, 2026) berjudul “AI makes you smarter but none the wiser: The disconnect between performance and metacognition” melaporkan bahawa apabila kita meletakkan kepercayaan yang terlalu tinggi pada hasil kerja AI tanpa memantau dan menyuntingnya, AI akan meningkatkan keyakinan yang berlebihan terhadap kebolehan diri, seterusnya menumpulkan kemahiran asas kita. Sebagai contoh, jika kita menyerahkan sepenuhnya tugas menulis kepada AI, kita berpotensi untuk kehilangan kemampuan menulis secara manual pada masa hadapan. Oleh itu, kita haruslah berhati-hati dan tidak memberikan semua kerja kepada AI.
Kesimpulannya, AI merupakan alat yang sangat berguna untuk mempercepat proses pembelajaran kita. Namun begitu, pada masa ini, AI lebih banyak digunakan untuk menyelesaikan kerja tanpa pemikiran yang mendalam oleh sesetengah pengguna. Jika semua tugasan pelajar universiti disiapkan sepenuhnyamenggunakan AI, maka kualiti pelajar yang mampu berfikir dan berhujah dengan bijak akan semakin berkurangan. Oleh itu, kita perlu menggunakan akal yang waras dan menetapkan batasan yang jelas dalam penggunaan AI. Hal ini dikatakan demikian kerana AI tidak akan “berfikir secara waras” untuk kebaikan kehidupan kita, sebaliknya kita sendiri yang bertanggungjawab terhadap kebaikan diri kita sendiri.