Diterbitkan pada 12 Mac 2026, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sepang– Kerajaan berjaya membawa pulang sebanyak 170 rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara Asia Barat menerusi satu operasi evakuasi khas, susulan situasi konflik yang semakin meruncing di rantau berkenaan.

Menurut kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN), misi evakuasi tersebut melibatkan penerbangan khas Malaysia Airlines yang berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA)  ke Jeddah pada 10 Mac lalu, selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.48 tengah hari, semalam.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 133 rakyat Malaysia berada di Jeddah dan Madinah, manakala selebihnya dipindahkan dari beberapa negara di rantau berkenaan termasuk Qatar (34 orang), Syria (2 orang) dan Jordan (1 orang) sebelum dibawa ke Jeddah sebagai pusat transit untuk penerbangan pulang ke Malaysia.

Selain rakyat Malaysia, penerbangan tersebut berjaya membawa tujuh individu bukan warganegara yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan rakyat Malaysia melibatkan lima warganegara Thailand, seorang warganegara Indonesia dan seorang warganegara Maghribi.

Jelas MKN, operasi kompleks ini merupakan hasil kerjasama erat antara MKN di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, serta Pejabat Perwakilan Malaysia di Jeddah, Doha dan Amman.

Sebelum ini, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan akan terus memantau perkembangan situasi di rantau tersebut dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas sentiasa terjamin.

“Operasi membawa pulang rakyat Malaysia akan diteruskan dan dipantau dari semasa ke semasa,” katanya dalam Sidang Media Khas Perdana di Putrajaya, semalam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi