Diterbitkan pada 12 Mac 2026, 10:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Malaysia sebagai negara perdagangan terbuka tidak terkecuali daripada tempias konflik yang berlaku di Asia Barat dalam satu sidang media khas semalam.

“Satu hal yang amat membimbangkan berkaitan dengan konflik ini adalah kesan terhadap ekonomi dunia dan negara kita juga tidak terkecuali. Berpunca daripada ketegangan tersebut, kebebasan kawasan ruang udara penerbangan pesawat menjadi terbatas dan yang lebih parah adalah gangguan bekalan minyak dan gas yang melalui Selat Hormuz,” ujar beliau.

Menurut beliau, sejajar dengan sekatan di Selat Hormuz dianggarkan lebih 400 kapal tangki minyak dan 3,000 kapal pengangkutan lain telah terkandas sehingga hari ini. Sekatan ini akan memberikan kesan ekonomi bagi negara-negara pengimport dan pengguna minyak.

“Dalam keadaan ini, Kerajaan MADANI bekerjasama dengan Petronas agar dapat menjamin bekalan minyak yang cukup sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026 dan mengekalkan harga RM 1.99 per liter bagi program BUDI MADANI RON95,”tambahnya

Selain itu, kumpulan pertama rakyat Malaysia telah selamat sampai sekitar 12.30 tengah hari semalam. Sebanyak 170 rakyat Malaysia dan keluarga berjaya diselamatkan menerusi pesawat sewaan khas.

“Terima kasih diucapkan kepada Majlis Keselamatan Negara yang bertungkus-lumus menyelaraskan bantuan membawa pulang rakyat Malaysia bersama-sama dengan Kementerian Luar Negeri dan Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau tersebut untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di sana kekal terjamin dalam keadaan baik,” tambah beliau lagi.

Perdana Menteri memandang serius hal ehwal ekonomi negara dan mengambil langkah untuk memutuskan supaya semua agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak akan menganjurkan perayaan rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini.

Selain itu, beliau turut mengehadkan lawatan luar negara oleh anggota-anggota pentadbiran kerajaan sebagai langkah awal bagi mendepani krisis yang sedang berlaku pada ketika ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi