Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sebanyak 125 000 pembantu tadbir yang kini berada pada Gred 1 akan diberikan laluan kenaikan pangkat ke Gred 5 bermula pada Januari 2027. Perkara ini dinyatakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan Perhimpunan Bulanan bagi bulan Mac bersama-sama dengan warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Kompleks E, Putrajaya, semalam.
YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenaikan gred perkhidmatan dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dengan beberapa syarat khas yang bakal ditetapkan.
“Walaupun ada kenaikan ikut SSPA tetapi ada keperluan agar kategori ini dapat ditingkatkan sedikit. Bagi menambah baik peluang kerjaya, saya telah minta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyediakan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 naik ke Gred 5,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, beberapa ketetapan termasuk kehadiran kursus tertentu yang dikhaskan sebelum diberi laluan untuk kenaikan gred.
“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memperincikan syarat kelayakan berdasarkan tempoh perkhidmatan. Selain itu, calon yang layak dikehendaki mengikuti kursus khas selama dua minggu yang memberikan tumpuan kepada pendedahan Teknologi Maklumat (IT) bagi memastikan peningkatan gred tersebut selari dengan kompetensi tugasan yang lebih mencabar,” jelas beliau lagi.