Diterbitkan pada 10 Mac 2026, 10:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abdul Halim memaklumkan bahawa kerajaan sedang merancang satu perubahan besar dalam sistem pendidikan negara apabila Tingkatan 6 bakal diletakkan di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Beliau berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menyelaras sistem pendidikan negara dengan perubahan yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.

Perkara itu disampaikan beliau ketika berucap dalam program Jaulah Ramadan Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di SMK Munshi Abdullah petang semalam.

Menurut beliau, perubahan tersebut bertujuan mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel serta memberikan lebih banyak pilihan kepada pelajar dalam menentukan laluan pendidikan masing-masing.

“Kita sedang melalui satu proses transisi yang menunjukkan Tingkatan 6 bakal bernaung di bawah KPT. Proses ini merupakan perubahan besar dalam tekstur pendidikan negara,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan baharu seperti konsep unbundling (penguraian kurikulum pendidikan) dan micro-credentials (pentauliahan mikro) akan diperkenalkan bagi memberikan peluang kepada pelajar mengikuti pembelajaran secara lebih modular dan fleksibel.

Katanya, pendekatan tersebut membolehkan pelajar membina kemahiran dan kelayakan secara berperingkat tanpa terikat kepada satu aliran pendidikan yang terlalu tegar.

“Kita tidak mahu pelajar terperangkap dalam satu aliran yang statik dari awal hingga akhir. Pendidikan sepatutnya memberikan ruang pilihan yang lebih luas kepada pelajar,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata sistem pendidikan tinggi juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku pada peringkat sekolah.

Menurutnya, apabila sistem di sekolah semakin menumpukan kepada pentaksiran yang lebih holistik dan pembangunan potensi murid, institusi pengajian tinggi juga perlu menyesuaikan pendekatan mereka.

“Kita tidak boleh lagi menggunakan cara lama yang terlalu statik. Universiti juga perlu bergerak seiring dengan perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan memberikan perhatian serius terhadap aspek kebajikan pelajar khususnya dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi kekal mampu milik.

Katanya, pelbagai institusi seperti Universiti Teknologi MARA, kolej komuniti dan politeknik menerima subsidi tinggi bagi membantu mengurangkan kos pendidikan kepada pelajar.

Dalam kerangka pelaksanaan rancangan pendidikan baharu itu, kerajaan turut menyasarkan sebanyak 10,000 bantuan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada sistem pendidikan tinggi.

Beliau berkata, usaha meningkatkan kualiti pendidikan amat penting kerana dunia kini menilai kekuatan sesebuah negara berdasarkan keupayaan modal insan yang dilahirkan.

“Pelabur luar melihat kepada kualiti pemikiran anak-anak kita. Jika kita dapat melahirkan generasi yang mahir teknologi serta mempunyai pemikiran kritikal, maka negara akan lebih menarik kepada pelabur,” katanya.

Menurut beliau, sejarah menunjukkan pelabur antarabangsa pernah memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan kerana kekuatan tenaga kerja tempatan.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap pelaksanaan RPM 2026–2035 dapat membantu melahirkan generasi yang berdaya saing pada peringkat global serta menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Dalam majlis yang sama, YB Adam Adli turut merasmikan pemberian sumbangan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada pusat sumber SMK Munshi Abdullah.

YB Adam Adli turut merasmikan pemberian sumbangan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada pusat sumber SMK Munshi Abdullah.

 

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi