Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dunia keilmuan Islam kehilangan seorang sarjana paling berpengaruh yang telah mengabdikan sepanjang kehidupannya terhadap usaha mengangkat martabat ilmu, adab serta pembinaan peradaban.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) hari ini merakamkan rasa dukacita yang amat mendalam atas pemergian sarjana ulung dunia Islam, Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada negara, malah kepada seluruh negara Islam serta tradisi keilmuan sejagat.
Allahyarham juga dikenali sebagai seorang tokoh pemikir besar yang telah memberikan sumbangan luar biasa kepada pembangunan pemikiran Islam, pendidikan serta pembinaan peradaban di Malaysia dan pada peringkat antarabangsa.
Pemikiran beliau sering dibicarakan sebagai sebahagian daripada arus kebangkitan pemikiran Islam moden pada abad ke-20 yang berusaha mengembalikan keyakinan umat terhadap tradisi ilmu Islam serta membangunkan pemikiran yang mampu menghubungkan warisan intelektual Islam dengan cabaran dunia moden.
Berlatarbelakangkan pendidikan, Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas merupakan seorang ilmuwan yang memiliki latar pendidikan yang luas dan mendalam. Beliau dilahirkan di Bogor, Indonesia dan mendapat pendidikan awal di Sukabumi dan Johor Bahru sebelum melanjutkan pengajian di Royal Military Academy Sandhurst di England.
Kemudian, beliau menyambung pengajiannya di Universiti Malaya di Singapura sebelum memperoleh ijazah sarjana di McGill University di Montreal serta ijazah doktor falsafah dari University of London dalam bidang Teologi dan Metafizik Islam.
Sepanjang perjalanan hidupnya, beliau telah banyak menghasilkan pelbagai karya ilmiah yang merangkumi bidang Falsafah, Metafizik Islam, Sejarah, Kesusasteraan, Pendidikan serta peradaban Melayu Islam. Beberapa karya beliau telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan menjadi rujukan penting dalam wacana pemikiran Islam kontemporari di seluruh dunia.
Menyusuri lembaran sejarah, hubungan Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dengan ABIM mempunyai nilai sejarah yang penting dan bermakna.
Dalam konteks yang lebih luas, gagasan pemikiran Allahyarham turut memberikan pengaruh penting kepada perkembangan wacana kebangkitan intelektual Islam di Malaysia pada dekad 1970-an, sewaktu generasi muda Muslim mula mencari kerangka pemikiran yang mampu menghubungkan tradisi keilmuan Islam dengan cabaran modeniti.
Melalui siri ceramah, diskusi ilmu serta wacana intelektual bersama-sama kepimpinan awal ABIM, Allahyarham telah banyak membantu memperkukuh tradisi keilmuan yang menekankan hubungan antara ilmu, adab serta pembinaan peradaban. Pemikiran beliau turut membantu membentuk kerangka kefahaman generasi awal pimpinan ABIM yang berusaha membangunkan gerakan dakwah yang berteraskan ilmu, kesedaran peradaban serta tanggungjawab terhadap masa hadapan umat Islam.
Antara karya besar Allahyarham yang memberi pengaruh penting kepada masyarakat ialah Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972) yang menghuraikan peranan Islam sebagai asas pembentukan identiti dan peradaban Melayu. Islam and Secularism (1978) yang pernah diterbitkan oleh ABIM turut mengkritik sekularisasi pemikiran moden serta menegaskan keperluan memulihkan pandangan alam Islam. Manakala karya beliau The Concept of Education in Islam (1980) memperkenalkan konsep ta’dib sebagai asas pendidikan dalam membina insan berilmu dan beradab serta Islam: The Covenants Fulfilled (2023) yang menyingkap kesinambungan renungan perjalanan intelektual beliau tentang tanggungjawab moral, keadilan serta prinsip amanah dalam tradisi peradaban Islam.
Selain sumbangan pemikiran, Allahyarham turut mempunyai hubungan yang dekat dengan sejarah awal ABIM. Beliau merupakan antara tokoh yang terlibat dalam mereka bentuk logo ABIM yang kekal menjadi lambang perjuangan gerakan ini sehingga hari ini, di samping pernah juga menyumbangkan idea penerbitan serta penamaan risalah ABIM, yang menjadi wahana penting penyebaran pemikiran dan wacana dakwah pada peringkat awal gerakan.
Dalam konteks sejarah pemikiran Islam moden, Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas juga merupakan antara sarjana yang berusaha mengangkat kembali martabat tradisi ilmu Islam ketika dunia Islam berhadapan dengan krisis identiti, sekularisasi pemikiran serta kekeliruan konsep ilmu.
Gagasan beliau mengenai Islamisasi ilmu, konsep ta’dib dalam pendidikan serta analisis mendalam mengenai krisis kehilangan adab telah membuka ruang kepada satu kebangkitan intelektual yang menegaskan bahawa pemulihan tamadun Islam mesti bermula dengan pemulihan pandangan alam, disiplin ilmu serta pembinaan insan beradab.

Allahyarham turut memainkan peranan penting dalam perkembangan awal penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta penubuhan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), dengan menyediakan asas penting kepada satu tradisi keilmuan yang menggabungkan ketelitian ilmiah, kedalaman spiritual serta kesedaran peradaban.