Diterbitkan pada 6 Mac 2026, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) yang dirangka bagi tempoh 10 tahun sehingga 2035 memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak termasuk guru, ibu bapa, komuniti serta murid bagi memastikan pelaksanaannya berjaya dan memberikan impak kepada sistem pendidikan negara.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Dato’ Amzan Abd Malek berkata, pelaksanaan rancangan tersebut tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak pengurusan tertinggi kementerian atau jabatan pendidikan semata-mata, sebaliknya memerlukan pelibatan seluruh ekosistem pendidikan.

Menurut beliau, Program TEKAD diperkenalkan sebagai usaha untuk menggerakkan pelaksanaan RPM secara menyeluruh dengan matlamat membangunkan potensi murid serta memperkukuh sistem pendidikan negara.

“Rancangan pendidikan ini tidak akan berjaya jika kita serahkan kepada pengurusan tertinggi kementerian sahaja atau kepada jabatan pendidikan negeri dan bahagian tertentu sahaja. Kita perlukan komitmen semua pihak termasuk murid, ibu bapa dan komuniti,” katanya dalam sesi penerangan mengenai RPM dan Program TEKAD bersempena dengan Jaulah Ramadan Komuniti KPM peringkat negeri Pahang di SMK Sultanah Hajjah Kalsom, Kuantan petang semalam.

Beliau menjelaskan, RPM dirangka sebagai kesinambungan kepada beberapa pelan pendidikan terdahulu yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara.

Antara pelan terdahulu termasuk Rancangan Pendidikan 2001–2010, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006–2010 serta Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 yang kesemuanya memberikan tumpuan kepada usaha melahirkan murid yang seimbang dan berkualiti.

Tambah beliau, melalui RPM, kementerian menetapkan beberapa teras utama bagi memacu sistem pendidikan negara ke arah lebih maju dan inklusif.

Antara fokus utama RPM termasuklah pendidikan berpaksikan insan yang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu pembangunan murid secara seimbang dari aspek emosi, jasmani, rohani, intelek dan sosial.

“Selain itu, aspek profesionalisme guru turut menjadi keutamaan memandangkan kira-kira 422,000 guru di seluruh negara memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran,” ujar beliau.

Menurut beliau, pada amsa yang sama elemen inovasi dan digitalisasi dalam RPM turut diberi perhatian bagi memastikan generasi muda memiliki tahap celik digital yang tinggi selaras dengan perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

Beliau turut menekankan kepentingan kepimpinan sekolah yang berkesan oleh pengetua, guru besar serta barisan pentadbir bagi mencorakkan hala tuju lebih 10,000 sekolah di seluruh negara.

Di samping itu, usaha merapatkan jurang akses pendidikan antara kawasan bandar dengan luar bandar juga terus menjadi agenda penting kementerian.

Menurutnya, pendekatan inovatif seperti penyediaan kemudahan pendidikan alternatif mampu membantu meningkatkan penyertaan murid dalam sistem persekolahan.

Sebagai contoh, beliau memaklumkan inisiatif sekolah terapung yang diperkenalkan di Tasik Banding, Perak bagi membantu meningkatkan akses pendidikan kepada anak-anak Orang Asli yang sebelum ini sukar menghadiri sekolah.

“Inisiatif ini menunjukkan apabila kita menyediakan kemudahan pendidikan yang sesuai dengan keperluan mereka, anak-anak ini tetap mempunyai keinginan yang kuat untuk belajar,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman menyantuni murid yang sebelum ini tercicir daripada sistem pendidikan melalui Program Jalinan Kasih di Sekolah Kebangsaan Sultan Abdullah, Kuantan.

Program tersebut membantu membawa kanak-kanak yang sebelum ini tidak bersekolah untuk kembali mendapatkan pendidikan formal.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa RPM tidak boleh sekadar menjadi dokumen perancangan semata-mata tanpa pelaksanaan yang berkesan.

“Rancangan pendidikan ini tidak boleh hanya menjadi dokumen yang tebal tetapi disimpan sahaja. Kita mesti melaksanakannya walaupun bermula dengan langkah kecil,” katanya.

Beliau berharap semua pihak dapat bersama-sama menggalas tanggungjawab bagi memastikan pelaksanaan RPM dapat memberikan manfaat kepada lebih 5.1 juta murid di seluruh negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi