Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh pemegangan jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan dibentang semula dalam sesi Dewan Rakyat, pada Jun ini.
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan MADANI, YB Datuk Fahmi Fadzil berkata bahawa pembentangan semula RUU tersebut telah mendapat persetujuan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
“Seharusnya semua ahli Parlimen memahami bahawa usaha ini adalah untuk memastikan tidak lagi berlaku situasi apabila Perdana Menteri berasa bahawa beliau boleh melakukan apa-apa sahaja kerana (menganggap) beliau berkuasa sampai bila-bila,” ujarnya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Kabinet tersebut.
Sebelum ini, RUU berkenaan gagal diluluskan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Persidangan Dewan Rakyat selepas tidak berjaya meraih sokongan majoriti dua pertiga daripada ahli Dewan Rakyat.