Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2026 yang dibacakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk kali kedua pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Persidangan Dewan Rakyat tidak dapat diluluskan semalam.
Cadangan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun tersebut tidak memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat pada persidangan semalam.
Sebanyak 41 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang telah membahaskan usul tersebut. Keputusan diumumkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas undian sejurus tamat sesi perbahasan.
“Yang tidak hadir sebanyak 32 orang, yang tidak mengundi sebanyak 44 orang, yang bersetuju pula sebanyak 146 orang. Oleh hal yang demikian, keputusannya ialah kurang daripada dua pertiga majoriti yang bersetuju,” katanya ketika mengumumkan keputusan undian di Dewan Rakyat semalam.
Seterusnya, RUU berkenaan diusulkan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan seseorang Perdana Menteri kepada 10 tahun, sama ada secara berturut-turut atau tidak.
Pindaan tersebut memerlukan sekurang-kurangnya 148 jumlah sokongan atau dua pertiga daripada keseluruhan ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan.