Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBachok – Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama dengan 1500 orang mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bersempena dengan Kembara Ramadan YB Menteri Pendidikan Tinggi dan Iftar Mahabbah IPTA Kelantan @ UMK 2026 yang berlangsung di pekarangan Masjid Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, Kelantan.
Beliau yang tiba pada pukul 5.30 petang turut bersama-sama dengan pelajar memasak gulai kawah sebagai persediaan untuk salah satu menu berbuka puasa yang disediakan di dalam talam. Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, YBhg. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Naib Canselor UMK, YBhg. Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah.

Kembara Ramadan YB Menteri Pendidikan Tinggi merupakan program siri jelajah ke kampus universiti dan politeknik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi meninjau pelaksanaan program kebajikan pelajar dan memahami isu yang dihadapi oleh mereka.
Pada majlis itu, YB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry turut menyempurnakan perasmian Dapur Siswa MADANI@UMK sebagai inisiatif untuk keperluan makanan dan minuman harian untuk meringankan beban mahasiswa.

Pelaksanaan program dapur siswa ini dapat memperkukuh usaha pelaksanaan inisiatif bank makanan di seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai langkah membantu mengurangkan beban kos sara hidup pelajar.
Kerajaan telah memperuntukkan RM15 juta bagi pelaksanaan program dapur siswa di bawah Belanjawan 2026 untuk memperluas inisiatif bank makanan di universiti serta politeknik.
Inisiatif pelancaran program dapur siswa ini diharap dapat menjadi pemangkin sokongan kepada pelajar yang memerlukan, khususnya dalam memenuhi keperluan makanan dan minuman harian.
Pada majlis itu, YB. Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry turut menyaksikan penyerahan sumbangan cek cura daripada Maybank Islamic Berhad berjumlah RM150,000.00, sumbangan Sijil Simpanan Premium berjumlah RM86,000 daripada Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, RHB Islamic Berhad berjumlah RM 77,925.00, syarikat Zurich Takaful berjumlah RM30,000 dan Telekom Malaysia (TM) Negeri Kelantan berjumlah RM30,000.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan sumbangan zakat daripada Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) berjumlah RM20,000 dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) berjumlah RM5,000.
Turut berlangsung, majlis penyerahan sumbangan aktiviti Pengkomersialan, Penyelidikan dan Penajaan kepada pihak UMK oleh Aura Biocare Sdn. Bhd. dan gimik penyerahan replika cek Pelesenan Cuka Nanas MD2 Premium kepada UMK oleh Syarikat Beeutee Goldlife PLT.
Pada majlis itu, YB. Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry turut berkongsi aspirasi, pandangan dan harapan dengan pelajar menerusi platform Hiwar Mahabbah Doc.Zam bersama-sama dengan mahasiswa yang memberikan peluang kepada pelajar untuk mengutarakan pandangan terhadap hala tuju pendidikan tinggi negara.

Program ini secara tidak langsung membolehkan kementerian memahami secara langsung keperluan pelajar selain memperkukuh hubungan strategik antara KPT dengan institusi pendidikan tinggi.
Sementara itu, YBhg. Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham berkata, pelaksanaan Dapur Siswa MADANI@UMK yang telah beroperasi sejak Januari 2026 merupakan satu daripada inisiatif untuk mengurangkan beban kos sara hidup pelajarnya yang terdiri daripada kelompok B40.

“Inisiatif ini telah memberikan manfaat kepada lebih 10,000 pelajar serta mampu mengurangkan beban dan tekanan kos sara hidup mahasiswa,” katanya.
Beliau berkata, penyediaan dapur siswa di enam lokasi di ketiga-tiga kampusnya, iaitu di UMK Bachok, UMK Kampus Kota dan UMK Kampus Jeli bertujuan untuk memastikan pelajar mendapat akses kepada keperluan asas seperti makanan, sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan harian mereka.
Selain pelaksanaan Dapur Siswa MADANI@UMK, pelbagai program kebajikan dan kesejahteraan pelajar turut dilaksanakan antaranya bantuan komputer riba, bank makanan, bantuan musibah, kemudahan rawatan perubatan percuma, pinjaman jangka pendek serta bantuan sewa rumah kepada pelajar asnaf dan pelajar miskin.
Dalam majlis tersebut turut diadakan penyerahan bingkai gambar Naib Canselor UMK, YBhg. Dato’ Ir. Ts. Prof. Arham Abdullah yang menjadi penghias kulit majalah Dewan Siswa Bil. 03/2026 yang disampaikan oleh Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Rosmani binti Omar yang mewakili Ketua Pengarah DBP.

Untuk rekod, DBP turut memberikan sumbangan buku dalam pelbagai bidang ilmu bagi memperkaya koleksi kepustakaan UMK, seterusnya menyokong aktiviti pembelajaran, penyelidikan dan pengembangan ilmu dalam kalangan warga universiti.
Selain buku, DBP juga memberikan sumbangan majalah terbitan DBP kepada para pelajar sebagai bahan bacaan ilmiah dan rujukan yang dapat menyemarakkan budaya membaca serta penguasaan bahasa kebangsaan.