Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadlina Sidek menyantuni warga pelajar dan pendidikan di Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) Cheras menerusi Program Jaulah Ramadan Komuniti KPM peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah berlangsung hari ini.
Kehadiran Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek terus mengimarahkan bulan Ramadan ini dengan menyantuni kebajikan dan pembangunan ilmu masyarakat kepada warga serta para pelajar SMISTA(MAIWP).
Dalam program tersebut, beliau turut berkesempatan menunaikan solat fardu Maghrib bersama-sama para pelajar SMISTA (MAIWP) bagi mengeratkan ukhuwah serta memberikan galakan moral kepada para pelajar dalam mendalami ilmu agama sepanjang bulan yang mulia ini.


Sebelum ini, turut berlangsung program pengagihan bubur lambuk yang telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik KPM, Puan Rozana Zainal Abidin yang mewakili Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek di Masjid Saidina Othman Ibn Affan.
Agihan bubur lambuk ini turut diberikan kepada pelajar dari GIATMARA Bandar Tun Razak, Kolej Universiti Saiko, kariah masjid dan komuniti setempat yang hadir sebagai simbol keberkatan dan perkongsian rezeki.

Selain itu, program turut dimeriahkan dengan majlis Pelancaran Sudut Bacaan yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami sebagai simbolik untuk mewujudkan budaya membaca dalam kalangan kariah masjid.

YBrs. Dr.Hazami Jahari turut mengambil kesempatan berkongsi fungsi dan peranan penerbitan buku DBP kepada para pelajar GIATMARA Bandar Tun Razak.
Beliau menekankan kepentingan bahan bacaan bermutu dalam memperkasakan bahasa kebangsaan dan membina jati diri murid menerusi ilmu pengetahuan yang diterbitkan oleh DBP.
Program ini merupakan anjuran DBP dengan kerjasama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) bagi mengimarahkan amalan kebajikan serta budaya ilmu sepanjang bulan Ramadan.
Yang turut hadir dalam Program Jaulah Ramadan Komuniti KPM termasuklah Pengarah Jabatan Dasar dan Pendidikan, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua-ketua Bahagian serta pegawai kanan DBP.