Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tindakan menyerang negara berdaulat dan merdeka adalah tindakan biadap, melanggar prinsip piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan melanggar semua peraturan ketetapan dalam tatanan hukum undang-undang dunia. Malaysia mengutuk keras serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.
Demikian menurut Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung pagi tadi.
Menurut beliau, tindakan ketenteraan berterusan ke atas Iran itu tentunya berisiko malah telah mula menyebabkan ketegangan lebih besar yang menggugat kestabilan serantau terutamanya di negara-negara teluk. Keadaan menjadi lebih parah apabila semua negara di rantau itu turut terheret dalam kancah peperangan berikutan serangan yang dimulakan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS).
“Tentunya sebagai negara bebas merdeka, Malaysia hanya mampu menyeru supaya gencatan senjata berlaku tanpa syarat dengan serta-merta. Jika ada asas pertikaian, hal tersebut harus kembali ke meja rundingan secara konstruktif,” ujar beliau.
Tambah beliau, tindakan ketenteraan yang berterusan ke atas negara bebas dan merdeka Iran perlu dihentikan walaupun dasar negara tersebut bertentangan dengan prinsip yang disepakati oleh dunia.
“PBB menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres mengikat negara anggota supaya mematuhi undang-undang antarabangsa, namun, Israel adalah satu-satunya negara yang terus melanggar ketetapan antarabangsa,” jelas beliau.
Menurut Perdana Menteri, kekerasan terhadap Iran, Lubnan, Iraq, Syria serta penindasan terhadap rakyat Palestin dan Gaza oleh Israel yang disokong oleh AS masih berterusan hingga kini. Oleh itu, jelas beliau, Malaysia tidak ada pilihan melainkan untuk menyatakan dengan tegas dan jelas bahawa tindakan kekerasan oleh Israel dan AS ini merupakan tindakan yang bertentangan dengan peraturan tatanan dunia dan harus dibantah dengan keras.
“Pilihan lain tentunya, selain daripada perdamaian, adalah dengan mendapatkan kerjasama antara negara teluk supaya kembali bersatu mengadakan rundingan untuk mempertahankan kebebasan dan kemerdekaan rantau itu. Jika tidak, seperti yang boleh dijangka, negara-negara di rantau itu akan bergilir-gilir menerima kekerasan yang dilakukan oleh Israel dan AS,” ujar beliau.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu merakamkan takziah kepada Republik Islam Iran atas pemergian pemimpin tertinggi Iran Seyyed Ayatollah Ali Hosseini Khamenei, seluruh keluarga mangsa, para pemimpin serta komuniti pendidikan yang terbunuh akibat serangan bom oleh rejim zionis Israel dan AS.
Takziah turut disampaikan ke atas pemergian Menteri Pertahanan Iran, Jeneral Aziz Nasirzadeh dan mantan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, kepimpinan angkatan tentera bersenjata, termasuk rakyat serta 180 kanak-kanak di Minab yang terkorban.