Diterbitkan pada 2 Mac 2026, 12:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Majlis Berbuka Puasa bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Tentera Darat Malaysia Ke-93 warga TDM dan veteran bersama-sama dengan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis.

Sandakan – Bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Tentera Darat Malaysia (TDM) ke-93, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga TDM dan veteran atas segala jasa serta pengorbanan mereka kepada negara.

Baginda turut mengingatkan seluruh warga angkatan tentera agar sentiasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan berikutan landskap keselamatan pada masa ini yang tidak lagi terbatas kepada ancaman konvensional.

“Ancaman kini merangkumi keganasan, jenayah rentas sempadan, serta cabaran siber yang semakin kompleks dan dinamik. Perubahan ini menuntut kesiapsiagaan menyeluruh, kecekapan taktikal, serta pemikiran strategik yang tajam dalam menghadapi realiti baharu yang kian mencabar,” titah Baginda.

Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Rejimen 504 Askar Wataniah, pada hari ini.

Titah tersebut dizahirkan ketika DYT Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, berkenan menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa bersama-sama dengan warga Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD) di Kem Sri Kinabatangan, Sandakan. Keberangkatan Baginda ke negeri di bawah bayu itu adalah bagi mengetuai Eksesais Perlis-Sabah (PERBAH) 2026.

Dalam majlis yang penuh keberkatan Ramadan itu, Baginda turut menegaskan bahawa setiap anggota adalah cerminan kepada TDM dan institusi diraja, iaitu teras kekuatan pembinaan jati diri yang kukuh, tahap profesionalisme yang tinggi, serta integriti yang tidak berbelah bahagi merupakan teras utama kekuatan angkatan tentera.

Menyentuh aspek pembangunan anggota, Baginda menitikberatkan penghayatan nilai kerohanian dan kepimpinan berteraskan teladan.

“Anggota tentera yang mantap rohaninya akan lebih tabah, berprinsip dan berdaya tahan dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan,” titah Baginda.

Selain itu, kebajikan keluarga anggota wajar diberi perhatian sepenuhnya kerana mereka merupakan sumber kekuatan dan inspirasi di sebalik kejayaan setiap warga tentera.

Majlis berbuka puasa tersebut bukan sahaja menghimpunkan warga pasukan, malah menjadi wadah memperkukuh silaturahim antara kepimpinan dengan anggota bawahan, menyemarakkan semangat kebersamaan, serta memperteguh iltizam keanggotaan.

Keberangkatan tiba Baginda sebelum itu disambut penuh penghormatan ketenteraan oleh Panglima 5 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd. Zamri Abdullah serta Pegawai Memerintah 22 RAMD, Leftenan Kolonel Khairull Nizam Basar.

Yang turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Sofi Md Lepi; Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Yusne Mokhtar; Timbalan Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Brigedier Jeneral Fissol Abd. Hadi; serta Komander Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Brigedier Jeneral Abd. Munir Abdul Rani.

Mengakhiri titah, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis menzahirkan harapan agar warga 22 RAMD terus mengekalkan semangat juang yang tinggi, memperkukuh perpaduan dan sentiasa bersedia menjadi benteng ampuh dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

 

Kredit Foto: Ihsan Rejimen 504 Askar Wataniah
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi