Diterbitkan pada 1 Mac 2026, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya sedang memantau rapi perkembangan situasi keselamatan di rantau itu berikutan laporan serangan terbaharu dan peningkatan ketegangan melibatkan Iran dan Israel. Rakyat Malaysia yang berada di Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dinasihatkan agar meningkatkan tahap kewaspadaan susulan ketegangan keselamatan.

KLN mengulas mengenai perkembangan semasa yang berlaku di Asia Barat termasuk serangan ketenteraan terbaharu dan pengukuhan langkah keselamatan di beberapa kawasan, gangguan penerbangan serta penutupan ruang udara yang dilaporkan di negara Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan dinasihatkan supaya bersedia menghadapi kemungkinan perubahan jadual penerbangan secara mendadak, penutupan lapangan terbang, serta sekatan perjalanan, selain membuat pengaturan alternatif atau pelan kontingensi sekiranya perlu.

KLN juga menggesa rakyat Malaysia di wilayah terjejas agar sentiasa mengamalkan tahap kewaspadaan yang tinggi, menjauhi kawasan operasi ketenteraan serta perhimpunan awam, selain wajib mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Semua rakyat Malaysia yang menetap atau berada di wilayah berkenaan diseru untuk segera mendaftar dan mengemas kini butiran perhubungan melalui e-Konsular di pautan https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan penyaluran bantuan. 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi