Diterbitkan pada 28 Februari 2026, 11:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sandakan – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar seluruh warga sekolah sentiasa memupuk budaya yang selamat dan harmoni dengan menjauhi segala bentuk buli serta tingkah laku yang tidak berfaedah. 

Baginda bertitah, setiap amalan yang baik mencerminkan keperibadian mulia dan menyumbang kepada suasana pembelajaran yang positif. Oleh itu, pelajar diseru agar mengamalkan sikap saling menghormati, bertolak ansur dan bekerjasama demi memastikan persekitaran sekolah sentiasa aman, sejahtera dan menyenangkan untuk semua.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menegaskan kepentingan berpegang teguh kepada ajaran agama dalam setiap aspek kehidupan. Agama, titah Baginda, merupakan pedoman yang membentuk peribadi berakhlak, berprinsip dan bertanggungjawab. Dengan pegangan yang kukuh, hati menjadi lebih tenang, jiwa menjadi lebih kuat dan setiap langkah akan sentiasa dipandu ke arah kebenaran untuk mendepani cabaran.

Selain itu, Baginda menasihati para pelajar agar sentiasa taat kepada ibu bapa atau penjaga serta menghormati guru sepanjang hayat. Restu dan keredaan mereka, menurut Baginda, menjadi sumber keberkatan dan kekuatan dalam kehidupan. Oleh itu, nasihat hendaklah didengar dengan hati yang terbuka dan adab dipelihara dalam setiap tutur kata serta perbuatan.

Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muhibbah, Sandakan.

Keberangkatan tiba Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke Sekolah Menengah Kebangsaan Muhibbah, Sandakan.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengetua SMK Muhibbah, YBrs. Encik Mohd Najib Ajun, serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan, YBrs. Encik Jeffry Nicholas. Program berkenaan melibatkan sebanyak 638 orang pelajar.

Menurut Mohd Najib Ajun, dengan slogan “Muhibbah Nombor 1, Together We Excel”, SMK Muhibbah komited memberikan pendidikan berkualiti selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) yang menekankan akses pendidikan menyeluruh kepada semua lapisan pelajar. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah telah merangka pelbagai program bagi menyahut seruan KPM khususnya Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan demi melahirkan pelajar yang seimbang dalam semua aspek.

Terdahulu, SMK Muhibbah telah melakar pelbagai kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum, khususnya sukan. Pelajarnya berjaya mengharumkan nama sekolah, negeri dan negara di pentas antarabangsa dalam acara olahraga. Kejayaan tersebut membuktikan kesungguhan pelajar dalam mencapai kecemerlangan hasil komitmen padu semua pihak.

Dengan sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak polis, sekolah turut mewujudkan kerjasama dua hala yang erat bagi merealisasikan kemenjadian pelajar. Ibu bapa komited menghulurkan sumbangan wang ringgit, masa dan tenaga demi memastikan anak-anak memperoleh pendidikan berkualiti. Pemantauan dan keprihatinan pihak polis pula membantu memperkukuh disiplin pelajar. 

Oleh itu, pihak sekolah bertekad untuk terus mengukuhkan hubungan strategik bersama-sama dengan ibu bapa dan pihak berkuasa demi melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan sahsiah serta berdisiplin tinggi.

Program Titian Kasih Mega melibatkan sebanyak 638 orang pelajar.

Dalam majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) berjumlah RM1,500 kepada kolej, termasuk insentif RM500 kepada pelajar cemerlang bagi tempoh tiga tahun.

Baginda juga berkenan menyaksikan penyampaian sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebanyak RM2,000, sumbangan kerusi plastik dan sistem siar raya daripada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), sumbangan kipas penyejuk udara daripada Saudagar WorldBridge Sdn. Bhd. serta sumbangan penyejuk udara daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Sebagai simbolik perasmian, Baginda turut berkenan menyempurnakan perasmian Bilik Seminar Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil Perlis.

Kredit Foto: Media Raja Muda Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi