Diterbitkan pada 27 Februari 2026, 18:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sandakan – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa kekuatan pertahanan yang mantap merupakan tunjang utama bagi menjamin kedaulatan dan maruah sesebuah negara.

Baginda menitahkan bahawa angkatan tentera yang berwibawa dan berdisiplin tinggi bukan hanya simbol kekuatan bersenjata, malah bertindak sebagai benteng terakhir negara yang didorong oleh pengurusan sumber manusia cekap serta aset pertahanan yang relevan dengan dinamika geopolitik global.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kedudukan geografi Malaysia yang strategik memberikan kelebihan signifikan dalam memperkukuh peranan negara pada peringkat serantau, namun mengingatkan bahawa kelebihan itu menuntut kesiapsiagaan tinggi di sempadan darat, laut, dan udara.

“Hubungan budaya serta ikatan kekeluargaan masyarakat di kawasan sempadan adalah asas penting kepada keharmonian serantau yang wajib diperkasakan demi memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin,” titah baginda.

Demikian titah baginda yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Iftar bersama-sama warga Markas Pemerintahan Armada Timur (MAWILLA) 2 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Sandakan.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Yusne Mokhtar.

MAWILLA ini diadakaan bersempena dengan Program Lawatan Kerajaan Negeri ke Negeri Sabah (EKS PERBAH) Tahun 2026 yang telah berlangsung dari 26 Februari 2026 hingga 1 Mac 2026.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan cenderamata kepada pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Selain bertujuan menyemarakkan keberkatan Ramadan, majlis ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh ukhuwah antara Kerajaan Negeri Perlis dengan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), termasuk anak kapal KD Kelantan yang berpangkalan di Kota Kinabalu.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut menzahirkan harapan agar seluruh warga MAWILLA 2 terus memperkukuh keimanan, memperteguh istiqamah dalam menyempurnakan ibadah sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi