Diterbitkan pada 27 Februari 2026, 12:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sandakan – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa anak-anak istimewa merupakan golongan yang kaya dengan potensi serta keunikan tersendiri, dan merupakan amanah yang amat bernilai kepada masyarakat.

Baginda menegaskan bahawa golongan ini bukan sahaja memerlukan prasarana yang bersesuaian malah turut menuntut perhatian, kesabaran, serta dorongan berterusan daripada keluarga, para pendidik, dan seluruh komuniti bagi memastikan mereka tidak terpinggir.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, setiap anak istimewa ini wajar diraikan berdasarkan kekuatan dan kebolehan masing-masing apabila diberikan ruang dan peluang yang adil sehingga mampu menyerlahkan bakat, membina keyakinan diri, serta mencorakkan masa hadapan yang lebih gemilang.

Baginda turut menekankan bahawa jalinan kerjasama antara ibu bapa, tenaga pengajar dan masyarakat perlu sentiasa diperkukuh agar menjadi pemangkin kepada pembentukan sahsiah, peningkatan keupayaan serta pencapaian yang lebih bermakna bagi anak istimewa.

“Nilai inklusif dan empati hendaklah terus disuburkan dalam kehidupan kemasyarakatan. Sesebuah negara tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal atau kemakumran ekonomi semata-mata, malah mempunyai keupayaannya untuk memelihara kebajikan dan martabat golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan,” titah baginda.

Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat mengadakan sesi kunjungan ke Taman Didikan Kanak-kanak Kurang Upaya (TDKU) di Jalan Chi Hwa, Sandakan, Sabah.

TDKU Sandakan ini turut menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti  menyediakan perkhidmatan pendidikan khas, penjagaan serta pemulihan secara menyeluruh kepada golongan kanak-kanak kurang upaya (OKU) di daerah Sandakan.

Pusat yang beroperasi di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah ini mendukung komitmen tinggi dalam memperkasakan perkembangan holistik kanak-kanak berkeperluan khas. Melalui pendekatan sistematik dan inklusif, pusat ini melaksanakan pelbagai program merangkumi pendidikan awal, latihan kemahiran asas, terapi perkembangan, serta aktiviti sosial.

Berdasarkan rekod, sebanyak 40 kanak-kanak OKU berjaya berdaftar sebagai penerima manfaat daripada intervensi awal dan bimbingan berterusan yang dikendalikan oleh tenaga pengajar serta petugas terlatih. Program yang dirangka secara komprehensif ini bukan sekadar bertujuan membina keyakinan diri dan kemahiran komunikasi, malah berfungsi sebagai persediaan rapi untuk integrasi mereka ke dalam sistem persekolahan arus perdana.

Selain berperanan sebagai institusi perlindungan, TDKKU Sandakan turut memfokuskan kepada latihan pengurusan diri dan pembentukan tingkah laku positif bagi memastikan kesejahteraan optimum setiap pelatih.

Dalam lawatan tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail  berkenan menyempurnakan Perasmian Ruang Terapi serta menyaksikan penyerahan sumbangan ikhlas daripada MAIPs dan Yayasan RISDA.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail DYTM ketiak berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan ikhlas daripada MAIPs dan Yayasan RISDA sebanyak RM2,000.00 kepada Taman Didikan Kanak-kanak Kurang Upaya (TDKU).

Kunjungan ini merupakan agenda pertama baginda bersempena dengan  Program Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Kerajaan Negeri Sabah (EKS PERBAH) yang telah berlangsung dari 26 Februari hingga 1 Mac 2026.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi