Diterbitkan pada 23 Februari 2026, 12:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan sedang meneliti penubuhan satu entiti kawal selia sektor penjagaan khusus bagi menyelaras piawaian latihan, akreditasi dan pembangunan tenaga kerja secara bersepadu pada peringkat nasional.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata bahawa inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) itu amat kritikal memandangkan Malaysia bakal mencapai status negara menua, dengan unjuran lebih 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas menjelang tahun 2030.

Selaras dengan keperluan mendesak itu, beliau mengumumkan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta pada tahun ini khusus untuk latihan penjagaan, dengan sasaran melahirkan sebanyak 1,700 penjaga warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kementerian menyasarkan pembangunan sekurang-kurangnya 50,000 penjaga profesional menjelang tahun 2030. Langkah ini juga menyokong aspirasi negara untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh kepada 60 peratus menjelang tahun 2033 melalui pengukuhan ekonomi penjagaan,” ujar beliau.

“Bagi memastikan setiap penjaga mempunyai kemahiran teknikal, etika dan ciri keselamatan yang memenuhi standard nasional, kementerian sedang membangunkan piawaian penjagaan khusus merangkumi institusi penjagaan komuniti dan juga di rumah,” katanya lagi semasa persidangan Dewan Rakyat.

Tambah beliau, piawaian tersebut penting bagi menjamin kualiti perkhidmatan yang seragam, selamat dan berpusatkan individu.

Bagi memperluas kapasiti latihan penjagaan, YB Dato’ Sri Nancy memaklumkan kementeriannya melalui Institut Sosial Malaysia (ISM) akan melaksanakan program Latihan Pengajar (Training of Trainers – TOT) bermula pada tahun ini. Latihan ini akan turut melibatkan pusat-pusat latihan berkelayakan di lokasi terpilih mengikut keperluan setempat.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan kini sedang melaksanakan semakan dan pindaan terhadap kerangka perundangan penjagaan sedia ada bagi memperkukuh sektor berkenaan.

Kerangka ini turut merangkumi Akta Pusat Jagaan 1993, Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Orang Kurang Upaya 2008.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Betong, YB Dato Dr. Richard Rapu dan soalan tambahan Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato’ Hajah Mumtaz Md. Nawi berhubung dengan hala tuju serta piawaian sektor penjagaan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi