Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus komited melestarikan budaya ilmu menerusi program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) sebagai usaha menyemarakkan pemartabatan bahasa Melayu dalam kalangan guru dan pelajar.
Menerusi sesi audio siar BERNAMA Radio bertemakan “Program Kembara Majalah Dalam Kelas: Memperkasakan Persuratan dan Meningkatkan Mutu Pendidikan”, Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar memulakan perkongsian dengan menjelaskan bahawa program MDK 2026 dipilih untuk menekankan kepentingan persuratan, pengkaryaan dan penghasilan karya yang boleh diterapkan oleh guru dan pelajar bagi mencetuskan minda terhadap penggunaan bahasa Melayu yang baik dan mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi.
“Jika kita menelusuri sejarah program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK), aktiviti ini telah mula diperkenalkan sejak tahun 1988. Kita sentiasa menjenamakan semula program ini untuk memastikan kelangsungannya di sekolah sebagai bahan bantu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang berkualiti bagi melestarikan pembudayaan ilmu,” ujar beliau.
YBrs. Dr. Rosmani Omar menambah bahawa inisiatif ini menyokong penuh Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2024-2030, khususnya dalam teras untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan negara. Beliau menekankan bahawa matlamat DBP adalah untuk melahirkan generasi berilmu yang tidak hanya memberikan fokus kepada peperiksaan semata-mata, tetapi juga membudayakan ilmu melalui pembacaan bahan yang bermutu.
“Dalam majalah ini, kita turut menampilkan bahan yang berkisarkan isu-isu semasa yang perlu diketahui oleh guru dan pelajar. Dalam konteks pendidikan, mereka perlu menilai bahan yang mempunyai kredibiliti. Pada masa ini, kita berdepan dengan pelbagai isu yang tidak mempunyai kesahihan, maka bahan bacaan DBP berfungsi sebagai penapis untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih,” jelas beliau.
Beliau turut memperincikan peranan majalah terbitan DBP, antaranya majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa yang sesuai digunakan untuk pelajar, manakala majalah Pelita Bahasa pula disediakan khusus untuk guru sebagai bahan bantu mengajar bagi meningkatkan aspek tatabahasa, kosa kata dan penggunaan bahasa yang betul di dalam kelas.
Menyentuh cabaran era digitalisasi terhadap sektor perbukuan, YBrs. Dr. Rosmani berpendapat bahawa buku dan majalah fizikal masih mempunyai tarikan serta kedudukan tersendiri di dalam hati pelajar. Beliau menarik perhatian kepada sambutan luar biasa dalam acara besar seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 sebagai bukti bahawa minat masyarakat, khususya golongan pelajar terhadap bahan bacaan fizikal tidak pernah pudar.
“Pada pandangan saya, setiap murid mempunyai kecenderungan literasi yang unik, meskipun format digital semakin menjadi pilihan murid, namun naskhah bercetak tetap mempunyai kedudukan istimewa yang sukar digantikan,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, Perancang Bahasa Bahagian Majalah, Puan Siti Irni Yuslinda memaklumkan bahawa program MDK telah bermula seawal bulan Januari dengan mengadakan taklimat kepada 115 pelajar di Asrama Yayasan Kasih Basmi Kemiskinan, Hulu Selangor.
“Program ini mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Pada masa yang sama, kita akan melaksanakan program MDK 2026 buat kali pertama di Kuala Pilah bersempena dengan sambutan ulang tahun DBP ke-70,” katanya.
Beliau turut menghuraikan usaha memperkasakan persuratan khususnya bagi golongan B40 di bawah Inisiatif Rekayasa Pembangunan Bakat Kreatif Penulisan.
“Apabila pelajar yang terlibat dalam program ini, menghantar karya seperti puisi atau cerpen, kita akan memberikan honorarium (bayaran) antara kadar RM50 hingga RM150 bagi satu karya, sekali gus meningkatkan penguasaan ekonomi mereka,” katanya.
Tambahnya, program ini memberikan peluang kepada pelajar untuk meraih Hadiah Tunas Cipta, iaitu sebuah anugerah berprestij yang dikhususkan bagi bakat remaja berumur antara 13 hingga 21 tahun. Inisiatif tersebut dirangka selari dengan aspirasi Malaysia MADANI demi melahirkan generasi kritis dan kreatif yang memiliki jati diri teguh dalam membina tamadun berilmu pada peringkat global.
Mengakhiri sesi perkongsian tersebut, YBrs. Dr. Rosmani berharap agar jangkauan program Kembara MDK dapat diperluas sebagai sebuah gerakan nasional yang inklusif dalam memperkasakan bahasa Melayu, kesusasteraan, serta kearifan budaya.
Beliau turut mengumumkan bahawa DBP bakal menerbitkan modul khusus Program MDK hasil karya Tokoh Guru Kebangsaan, iaitu Cikgu Azizul Rahman Abdul Rahman, untuk diaplikasikan secara lebih sistematik di seluruh sekolah.
Modul yang bakal diterbitkan ini diharap dapat menjadi panduan kepada para guru untuk memacu keberkesanan program MDK di dalam bilik darjah.