Diterbitkan pada 6 Februari 2026, 13:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Universiti Malaysia Pahang (UniMAP) dinobatkan sebagai juara bagi Kejohanan Liga Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2025 selepas berjaya menewaskan sebanyak 47 pasukan melibatkan 564 orang pemain yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Liga Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Piala Presiden 2025 di negeri Perlis, baru-baru ini.

Keputusan naib johan disandang oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Arau, manakala Kolej Matrikulasi Perlis menduduki tempat ketiga dan Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis berada di kedudukan tempat keempat.

Bagi kategori Piala Presiden 2025 pula, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dinobatkan sebagai johan, diikuti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis sebagai naib johan. Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis meraih tempat ketiga, dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Perlis pula menduduki tempat keempat.

Kejohanan tahunan ini menghimpunkan penyertaan daripada institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan serta badan sukan, sekali gus menjadi platform penting dalam pembangunan bakat dan pemerkasaan sukan woodball pada peringkat akar umbi.

Pada masa yang sama, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan Majlis Penutupan kejohanan tahunan tersebut yang berlangsung di Laman Woodball Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Kangar.

DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan Majlis Penutupan Kejohanan 2025, yang turut disaksikan oleh para peserta yang terlibat.

Keberangkat tiba baginda disambut oleh Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, YBhg.Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg.Datuk Rahimi Ismail.

Dalam majlis tersebut, baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada 14 orang atlet dan tiga pegawai Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) atas kejayaan mengharumkan nama negara di Sukan SEA di Thailand dengan meraih empat pingat gangsa.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa pencapaian membanggakan itu membuktikan kemampuan atlet Perlis untuk bersaing pada peringkat antarabangsa, selain menjadi inspirasi kepada generasi muda agar terus berusaha dan berdisiplin dalam mengejar kecemerlangan sukan.

Titah baginda, pelaksanaan yang lebih tersusun diyakini dapat memperkukuh persiapan atlet dan penganjur, khususnya menjelang Kejohanan Piala Dunia Woodball (WCWC) Ke-10 yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 31 Julai 2026 di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, UniMAP Kampus Alam Pauh Putra.

“Keyakinan bahawa kejohanan bertaraf dunia itu mampu dianjurkan dengan cemerlang, sekali gus memartabatkan negeri Perlis sebagai destinasi sukan bertaraf antarabangsa,”ujar baginda.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berharap agar lebih banyak jabatan, agensi kerajaan serta sektor swasta tampil menyertai kejohanan musim 2026 bagi menggalakkan penyertaan menyeluruh serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

Mengakhiri majlis, baginda berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan dedikasi para pemenang.

Selain itu, penganjuran kejohanan ini mencerminkan sokongan berterusan institusi diraja terhadap pembangunan sukan negeri, khususnya bagi melahirkan atlet berdaya saing serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan belia.

Selain mencungkil bakat baharu, kejohanan ini turut memperkukuh kerjasama strategik antara institusi, persatuan dan agensi berkaitan dalam usaha memartabatkan sukan woodball sebagai cabang kompetitif di Malaysia.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi