Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan 10 agenda reformasi pendidikan negara dalam Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 bertemakan “Memacu Lonjakan Pendidikan Negara” yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, pada hari ini.
Agenda utama yang dibentangkan antara lain menekankan peningkatan akses dan kualiti pendidikan; pembangunan potensi murid; mentransformasikan pendidik, pemantapan prasarana; dan pengukuhan kecekapan tadbir urus dalam sistem pendidikan. Perutusan agenda ini bertujuan mencerminkan keselasaran dasar pendidikan negara secara menyeluruh dan berfasa bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal insan dari peringkat sekolah hingga peringkat pendidikan tinggi.
Antara perutusan yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim termasuklah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan pilihan pendaftaran darjah satu seawal usia enam tahun secara sukarela bermula pada tahun 2027 bagi memberikan peluang kepada kanak-kanak memulakan pembelajaran formal mengikut keupayaan mereka.
Beliau berkata bahawa ibu bapa boleh mula mendaftar anak-anak mereka secara sukarela ke tahun satu seawal usia enam tahun bermula pada tahun hadapan.
“Saya galakkan ibu bapa membuat persiapan rapi mulai tahun ini dengan mendaftar anak mereka ke sekolah rendah secara sukarela. Kerajaan juga memberikan tumpuan pada penyeragaman keseluruhan sistem prasekolah dengan meminta KPM mengambil alih serta menyelaras pelaksanaannya bermula pada umur lima tahun, manakala darjah satu akan dimulakan pada umur enam tahun,” katanya ketika merasmikan Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa semua sekolah pelbagai aliran pendidikan yang terdiri daripada sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat serta sekolah persendirian diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dengan langkah ini, ujar beliau, kontroversi yang berkaitan dengan isu bahasa Melayu dapat dileraikan, sekali gus hal yang berkaitan dengan syarat kemasukan ke universiti awam (UA) juga tidak akan dibangkitkan.
“Saya jelaskan keperluan bahasa dan menuntut supaya semua sistem pendidikan di negara kita menetapkan dan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam sukatan pelajaran SPM mengikut kurikulum kementerian,” jelasnya.
Tambah beliau, pelaksanaan Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat juga bermula pada tahun ini.
“Bagi murid tahun empat (mulai 2026) pengukuran tersebut melibatkan empat mata pelajaran, iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
Manakala, murid tingkatan tiga (mulai 2027) melibatkan empat mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, YAB Perdana Menteri turut membentangkan laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada peringkat awal persekolahan.
“Laluan ini mula diperkenalkan untuk tingkatan tiga, namun telah dibuka kepada pelajar tingkatan satu bermula pada tahun ini. Kementerian Pendidikan akan memastikan elemen TVET, termasuk STEM dan kemahiran digital, digabungkan dalam satu kerangka yang lebih menyeluruh dan berdaya maju agar murid dapat membuat pilihan hala tuju kerjaya dengan lebih awal dan terarah,” ujar beliau.
Pada masa yang sama, kerajaan juga bersetuju memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan menaik taraf bilik guru di seluruh negara.
“Kerajaan mengambil maklum berkenaan lebih 30 peratus bilik guru berada dalam keadaan tidak selesa dan tidak selamat. Kita akan memastikan kemudahan bilik guru, pengurusan sekolah diperbaik dan kita berikan peruntukan tambahan berjumlah RM100 juta untuk mengatasi masalah ini,” tambah beliau lagi.
Bagi rancangan pendidikan peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pula, beliau menjelaskan bahawa KPT akan mengambil alih keseluruhan sistem prauniversiti atau tingkatan enam dan matrikulasi bermula pada tahun 2027.
Ujar beliau, pelajar yang akan mengikuti sistem pendidikan berkenaan akan mula memasuki kategori pendidikan tinggi pada tahun 2027.
Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan telah menyarankan pihak universiti agar menambah 3,000 ribu tempat baharu ke tawaran institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang merangkumi bidang Undang-undang, Perakaunan, Kewangan dan Perbankan, Kewangan Islam, Kecerdasan Buatan, Ekonomi, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Komunikasi, Pengajian Media, Sains Data, Analitik Data serta Sains Komputer.
Bagi meredakan kebimbangan dalam kalangan pelajar, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan bahawa kerajaan memberikan keutamaan kepada pelajar asasi seperti kelaziman sebelum ini. Namun begitu, inisiatif ini turut diberikan kepada pelajar tingkatan enam yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan mendapat keputusan yang cemerlang.

Beliau berkata bahawa pelajar STPM dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.0 akan diberikan keutamaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
“Sekiranya memperoleh PNGK 4.0, universiti akan berusaha sedaya upaya untuk menawarkan tempat, walaupun pemilihan kursus tertakluk pada keupayaan dan kekosongan institusi,” katanya lagi.