Diterbitkan pada 20 Januari 2026, 13:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merafak sembah menjunjung kasih atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bersempena dengan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 yang turut menyentuh mengenai pendidikan negara. 

Titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menjadi peringatan kepada seluruh warga KPM untuk sentiasa berusaha memperkasakan ekosistem pendidikan negara sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara. Perkara ini termasuk memastikan sebarang usul mengiktiraf sistem pendidikan lain harus selari dengan Dasar Pendidikan Negara serta menerima keperluan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia. 

Dalam satu kenyataan, KPM memaklumkan bahawa kementerian tersebut sedang memberikan tumpuan terhadap pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan Kurikulum Baharu Prasekolah. 

RPM 2026-2035 adalah kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah tamat pada tahun lalu. Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan mutu pendidikan negara demi anak-anak Malaysia. 

Seperti yang dititahkan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, RPM 2026-2035 memberikan penekanan kepada usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa lain sebagai nilai tambah kepada murid. 

KPM memastikan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi