Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) dan Universiti Selangor (UNISEL) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan Majlis Pelancaran Buku Bangkit Semula: Memoir Warga Yayasan Anda Akademik yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, petang tadi.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari yang mewakili Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang berucap mewakili YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, buku Bangkit Semula: Memoir Warga Yayasan Anda Akademik tidak sekadar mencatatkan nostalgia, sebaliknya merakamkan kisah sebenar jatuh bangkit warga Yayasan Anda Akademik (YAA) yang berhadapan dengan kegagalan, kemiskinan dan kekangan sosial dalam membina makna hidup melalui pendidikan berteraskan nilai dan kemanusiaan.
Jelas beliau, YAA lahir daripada kesedaran moral dan keinsafan zaman yang bukan hanya berteraskan kemewahan atau kekuasaan, sebaliknya berasaskan idealisme, kesukarelawanan, kerja keras serta keyakinan terhadap potensi insan.
“Nilai tersebut menjadikan YAA tidak hanya sebuah institusi pendidikan semata-mata, malah turut berperanan sebagai sebuah madrasah kehidupan yang membentuk insan dari segi ilmu, akhlak dan jati diri,” ujar beliau.
YB Dr. Mohammed Taufiq Johari turut menceritakan sinopsis Bangkit Semula: Memoir Warga Yayasan Anda Akademik yang menampilkan kisah sebenar yang diterjemahkan melalui suara para pendidik, pentadbir dan alumni, termasuk pengalaman jatuh dan bangkit mereka sehingga mampu mencapai kecemerlangan dalam dunia pendidikan.
Berdasarkan rekod, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menubuhkan YAA pada tahun 1971 selepas beliau berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaya, bersama-sama rakan seperjuangan daripada kalangan pendidik dan aktivis mahasiswa yang berkongsi keprihatinan mendalam terhadap masalah keciciran pelajar, khususnya dalam kalangan anak-anak muda dari keluarga berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar.
Tambah YB Dr. Mohammed Taufiq, penubuhan YAA ini didorong oleh kesedaran bahawa sistem pendidikan ketika itu belum mampu menampung sepenuhnya keperluan golongan yang tercicir akibat kemiskinan, kekurangan sokongan keluarga, dan kekangan sosial.
“Sejak penubuhannya, YAA diwujudkan sebagai sebuah ikhtiar sederhana, tetapi berjiwa besar untuk memberikan peluang kedua kepada mereka yang kurang bernasib baik agar dapat menyambung pelajaran, membina keyakinan diri dan menemukan kembali makna ilmu dalam kehidupan mereka,” jelasnya.
Beliau juga berpandangan bahawa falsafah yang mendasari penubuhan YAA berpaksikan keyakinan bahawa pendidikan tidak seharusnya bersifat eksklusif atau menyingkirkan, sebaliknya berperanan membangunkan dan memanusiakan insan sejagat.
Ujarnya lagi,
“Pendidikan yang baik bukan hanya melahirkan individu cemerlang dari segi akademik, malah dapat melahirkan insan yang berakhlak, beradab, dan bertanggungjawab kepada masyarakat”.
YB Dr. Mohammed Taufiq turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Penerbit Universiti Selangor (UNISEL) yang telah menguruskan penerbitan buku ini dengan penuh ketelitian, profesionalisme, dan komitmen tinggi terhadap mutu penerbitan ilmiah.
Keupayaan UNISEL menterjemahkan karya memoir ini ke dalam sebuah naskhah yang tersusun dan bernilai tinggi mencerminkan peranan penting institusi akademik dalam memelihara sejarah pendidikan serta menyumbang kepada pengembangan wacana intelektual negara.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Penataran ilmu (YPI), YB Senator Dato Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan Othman menyifatkan bahawa sebagai penerbit bersama, naskhah ini diterima dengan perasaan yang sukar digambarkan. Walaupun bukan terdiri daripada alumni atau pentadbir YAA, namun secara peribadi mempunyai hubungan yang baik dengan yayasan itu sejak penubuhannya.
Buku Bangkit Semula: Memoir Warga Yayasan Anda Akademik, ujar beliau, mengisahkan anak muda yang hampir tersasar dan suara guru yang hampir putus asa dalam pendidikan, namun mereka terus bertahan kerana mempercayai potensi insan, serta pentadbir yang memikul tanggungjawab bukan dengan kuasa, tetapi dengan kasih sayang dan amanah yang diterapkan dalam kehidupan.
Mengulas lanjut, beliau turut mempercayai bahawa sesiapa yang membaca buku ini akan menemukan sesuatu tentang dirinya sendiri dan menghadapi pergelutan masalah akan terinspirasi untuk berkata “kalau mereka boleh bangkit, aku juga boleh bangkit”.
Jelasnya lagi,
“Kepada penyelidik, pendidik atau masyarakat umum, sejarah YAA merupakan sebahagian daripada sejarah perjuangan pendidikan swasta negara kita dan perjalanan bagi mengangkat maruah anak-anak bangsa Melayu agar membangkitkan kehidupan yang berilmu, beradab dan bertakwa”,

Presiden Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM), YBhg. Dato’ Dr. Suhaimi Ibrahim dalam ucapannya pula berkata bahawa beliau bersama-sama alumni PAYAAM akan menubuhkan Pusat Tuisyen MADANI di 50 buah sekolah di seluruh negara selepas perancangan tersebut mendapat persetujuan oleh semua Pengarah Pendidikan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara pada bulan Mac 2026.
“Perancangan ini dilaksanakan bagi membantu sebanyak 2000 ribu pelajar Tingkatan Lima yang terdiri daripada keluarga asnaf yang bakal menduduki peperiksaan SPM bagi subjek teras, iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik yang memperuntukkan jumlah keseluruhan sebanyak RM495,000,” ujar beliau.
Beliau juga menambah bahawa Bank CIMB dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Pelajar Melayu (YPPM) bersetuju memberikan bantuan berjumlah RM440,000 bagi pelaksanaan projek Pusat Tuisyen MADANI pada tahun ini.

Yang turut hadir dalam majlis pelancaran buku ini ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara (SN), YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Penyandang Kursi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; SN, YBhg. Dato’ Rahman Shaari; SN, YBhg. Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh, Pengarah-pengarah Jabatan, Ketua Bahagian serta pegawai DBP.
