Diterbitkan pada 13 Januari 2026, 16:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu segera melakukan anjakan paradigma melalui transformasi budaya kerja dan pemerkasaan ekosistem bahasa serta sastera bagi mendepani arus globalisasi yang semakin mencabar kedaulatan bahasa kebangsaan.

Dalam majlis Amanat Tahun Baharu 2026: Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir hari ini, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, memberikan penjelasan tentang dampak kerapuhan identiti bangsa sekiranya bahasa Melayu terus dipinggirkan dalam sektor-sektor strategik.

Beliau menekankan bahawa penguasaan bahasa antarabangsa, terutamanya bahasa Inggeris, kini menjadi keperluan utama dalam pendidikan dan komunikasi global.

Walau bagaimanapun, perkembangan ini membawa cabaran besar apabila wujud kecenderungan generasi muda menggunakan bahasa asing dalam kehidupan seharian dan dunia profesional sehingga menjejaskan penggunaan bahasa kebangsaan dalam konteks formal mahupun santai.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan memberi amaran mengenai kerapuhan masa hadapan penerbitan bahasa Melayu sekiranya generasi muda gagal menguasai bahasa kebangsaan.

“Masa hadapan penerbitan dalam bahasa Melayu akan menjadi semakin rapuh sekiranya generasi muda tidak lagi menguasai bahasa ini. Kekurangan pembaca baharu akan menyebabkan permintaan terhadap buku, majalah dan karya digital berbahasa Melayu merosot secara drastik,” tegas beliau.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai lambakan bahan teknologi dan penyelidikan dalam bahasa asing yang menyukarkan bahasa Melayu bersaing sebagai bahasa ilmu yang dominan, sekali gus mewujudkan jurang identiti di mana masyarakat muda semakin terpisah daripada akar budaya sendiri.

Menyentuh aspek sastera, DBP digesa untuk memperhebat usaha pengantarabangsaan sastera tempatan bagi memperkenalkan identiti dan imaginasi masyarakat Malaysia kepada dunia.

YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar mengenal pasti beberapa kekangan utama yang menghalang pengarusutamaan karya tempatan pada peringkat global seperti kekangan penterjemahan sastera Melayu ke bahasa dunia menyebabkan akses pembaca antarabangsa terbatas, masalah pembiayaan yang membendung sastera tempatan untuk kekal dalam lingkungan nasional, cabaran persepsi sastera tempatan yang dianggap terlalu bersifat lokal serta kurangnya promosi agresif dalam festival antarabangsa dan rangkaian digital global membantutkan usaha membina reputasi sastera di mata dunia.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menggariskan keperluan mendesak bagi mengatasi kekangan penterjemahan untuk membawa sastera tempatan ke pentas dunia.

Beliau menegaskan bahawa DBP harus bertindak segera melalui strategi menyeluruh yang melibatkan penyelarasan institusi dan sokongan industri kreatif agar sastera tempatan dapat berdiri megah di pentas dunia.

Bagi memastikan kelestarian organisasi, DBP melalui Unit Perniagaan Strategik (UPS) perlu melakukan transformasi budaya bagi memastikan DBP kekal relevan, cekap dan berdaya saing.

YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar menjelaskan bahawa tradisi kerja berorientasikan prosedur semata-mata tidak lagi memadai dalam era persaingan sengit ini.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menggesa penerapan budaya kerja komersial dan inovatif dalam Unit Perniagaan Strategik (UPS) bagi memastikan organisasi kekal relevan.

“DBP perlu menghayati budaya komersial sebenar yang menekankan kecekapan operasi, inovasi dan nilai kepada pelanggan,” ujar beliau.

Transformasi ini, menurut beliau, menuntut perubahan minda di mana pegawai DBP harus melihat pelanggan sebagai rakan niaga yang menuntut mutu, kelajuan dan fleksibiliti. “Penggunaan data dalam membuat keputusan serta akauntabiliti yang jelas bagi setiap unit dan projek menjadi teras tadbir urus korporat yang lebih telus,” jelas beliau.

Beliau menambah bahawa pengkomersialan produk budaya DBP bukan bermaksud mengabaikan nilai perkhidmatan awam, sebaliknya menyuntik semangat profesionalisme dan kecekapan tinggi untuk berfungsi sebagai pemacu ekonomi yang lebih mampan dan bertanggungjawab kepada rakyat.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi