Diterbitkan pada 12 Januari 2026, 12:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Pengetua dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad sedang menunggu ketibaan pelajar SMDAA sempena hari pertama persekolahan.

Perlis – Tahun 2026 diangkat sebagai tahun pembangunan dan reformasi pendidikan negara dengan tumpuan khusus terhadap pendekatan pembelajaran yang lebih holistik, pembinaan sahsiah murid, serta pengukuhan kompetensi guru.

Perkara ini ditegaskan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Dasar dan Kurikulum, YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad, ketika mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Datuk Ali Ahmad (SMDAA), hari ini.

Lawatan yang bertujuan untuk meninjau perjalanan minggu pertama sesi persekolahan 2026 itu, Dr. Rusmini menekankan bahawa usaha ini selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkukuh sistem pendidikan negara secara menyeluruh.

Mengulas mengenai pembukaan minggu pertama persekolahan, beliau menyifatkan bahawa minggu pertama sebagai tempoh kritikal yang menjadi asas kepada penyesuaian diri murid. Minggu pertama persekolahan juga penting bagi memupuk semangat kehadiran ke sekolah serta menyuntik motivasi awal untuk sesi pembelajaran yang efektif sepanjang tahun.

“Saya melihat murid-murid begitu teruja hadir ke sekolah. Hal ini secara langsung mencerminkan sokongan padu ibu bapa dan komitmen tinggi pihak sekolah dalam memastikan kelancaran permulaan tahun akademik ini,” jelas beliau.

Sekolah Menengah Datuk Ali Ahmad mencatatkan pendaftaran sebanyak 450 orang pelajar. Dr. Rusmini turut memuji komitmen warga sekolah tersebut dalam memastikan persekitaran yang teratur, ceria dan memenuhi keperluan murid.

Beliau berharap agar semua sekolah kekal dalam keadaan selamat dan kondusif bagi menjamin kesejahteraan warga pendidik dan pelajar.

Lawatan kerja tersebut diakhiri dengan sesi tinjauan ke beberapa blok utama sekolah, antaranya termasuklah kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), makmal sains, dan kawasan persekitaran bagi memastikan semua kemudahan beroperasi dengan baik serta mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

Yang turut hadir mengiringi beliau dalam lawatan tersebut ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Encik Rose Aza Che Arifin dan Ketua Polis Perlis, YDH DCP Dato’ Muhammad Abdul Halim.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi