Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengumumkan langkah drastik bagi memartabatkan bahasa Melayu melalui siri inisiatif baharu yang merangkumi peringkat pendidikan guru sehingga ke akar umbi sekolah.
Menteri Pendidikan memaklumkan bahawa bermula pada tahun ini, semua pelatih guru dalam bidang Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru (IPG) akan menjalani program pentauliahan Munsyi Dewan. Langkah ini bertujuan untuk memastikan graduan IPG bukan sekadar guru biasa, tetapi keluar sebagai pakar bahasa yang mempunyai kompetensi tinggi.
“Kita mahu dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, guru yang mengajar di dalam kelas adalah mereka yang bertaraf Munsyi. Mereka akan membawa kualiti bahasa yang tinggi dan bukan sekadar ‘biasa-biasa’,” ujar beliau.

Bagi menyemai bakat sejak awal, program Munsyi Muda akan diperkenalkan kepada murid Tingkatan 4 hingga Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
Selain itu, sebanyak 15 buah sekolah yang dinamakan bersempena dengan tokoh-tokoh tersohor negara seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Nasir Ismail (Johor Bahru), SMK Datuk Panglima Abdullah (Semporna), SMK Dato’ Usman Awang (Johor Bahru), SMK Ahmad Beostamam (Perak), SMK Pendeta Za’ba (Negeri Sembilan), SMK Munshi Abdullah (Sabak Bernam), SMK Hamzah Fansuri (Selangor), SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (Sarawak), SMKA Syeikh Abdullah Fahim (Pulau Pinang), SMK Sultan Idris Shah (Perak), SMK Dato’ Ali Haji Ahmad (Pontian), SK Aminuddin Baki (Perak), SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan (Sarawak), SK Tan Sri Awang Had Salleh (Pulau Pinang), SK Sri Lanang (Melaka) dan SK Datuk Usman Awang (Kota Tinggi), telah dipilih sebagai sekolah angkat DBP.
Sekolah-sekolah ini akan menjadi perintis dalam penggunaan kesusasteraan dan bahasa Melayu tinggi melalui intervensi langsung daripada pihak DBP.

Menyusuli kejayaan Debat Piala Perdana Menteri dan Debat Generasi MADANI yang tular baru-baru ini, KPM akan memperkenalkan Pidato Diraja khusus untuk pelajar Tingkatan 6. Inisiatif ini bertujuan untuk melengkapkan ekosistem pidato nasional yang sedia ada, sekali gus memastikan kelompok pelajar pascamenengah tidak terpinggir dalam agenda pemerkasaan bahasa.

Bagi menggalakkan budaya membaca dan integrasi kaum, DBP akan menyediakan peruntukan geran berjumlah RM500,000 yang dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu sebanyak RM250,000 untuk Program Silang Budaya yang meliputi aktiviti seperti tulisan Jawi, kaligrafi, gendang 24 musim, kompang, silat dan silambam di sekolah-sekolah dan sebanyak RM250,000 lagi diperuntukkan untuk Program Dekad Membaca Kebangsaan yang memfokuskan untuk memupuk minat membaca yang tulen dalam kalangan murid, tidak sekadar pengisian rekod Nilam semata-mata.


“Kita mahu anak-anak kita membaca kerana cinta akan ilmu, bukan sekadar untuk mengisi borang. Usaha ini adalah untuk memastikan bahasa Melayu dan budaya membaca terus hidup subur merentas semua kaum di Malaysia,” tambah beliau lagi.