Diterbitkan pada 5 Januari 2026, 14:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 10 agenda utama negara dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 yang menekankan reformasi ekonomi, kesejahteraan rakyat serta pengukuhan tadbir urus berteraskan prinsip Malaysia Madani yang berlangsung di Dewan De’ Seri Endon Puspanita, semalam.

Agenda utama yang dibentangkan antara lain menekankan reformasi ekonomi yang adil dan saksama, usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, serta pengukuhan tadbir urus dan integriti institusi, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI. Perutusan itu bertujuan memastikan pembangunan negara bersifat mampan, inklusif, berdaya tahan dan mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.

Antara agenda utama yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ialah Rang Undang–undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh yang akan dibentangkan dalam Parlimen pada tahun ini.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa semua jawatan mempunyai had tempoh termasuklah Ketua Setiausaha  Negara (KSN) yang tidak boleh meneruskan khidmat lebih atau hampir  10 tahun dalam perkhidmatan awam.

“Sekiranya seseorang diberikan tempoh tertentu dan berjaya melaksanakan tanggungjawab adalah wajar menyerahkan kepada generasi yang akan datang.”

“Ini juga dikuatkuasakan kepada Jabatan Perdana Menteri  yang mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun dalam perkhidmatan”, jelas beliau.

Selain itu, tiga RUU juga akan dibentangkan pada tahun ini termasuk Pemisahan Bidang Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Penubuhan Ombudsman dan Kebebasan Maklumat (FOI).

Jelas beliau, RUU Pemisahan Bidang Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya menjadi perundangan pertama yang dibentangkan pada sesi Parlimen bermula 19 Januari 2026.

“Perkara lain seperti tender projek dan pencegahan penyalahgunaan kuasa dan RUU Kebebasan Maklumat akan dibentangkan untuk kelulusan Parlimen pada sesi akan datang dan dijangka diluluskan pada tahun ini juga”, ujar YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Tambah beliau, kerajaan juga memandang serius keperluan pendigitalan menyeluruh dalam sistem perkhidmatan awam yang tidak hanya bersifat paradoks.

“Segala urusan kerajaan hendaklah dilaksanakan secara dalam talian dengan sokongan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi menjimatkan masa dan tenaga produktiviti,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan keputusan menaikkan gaji penjawat awam termasuk hakim juga dilakukan bukan disebabkan terpengaruh desakan kakitangan awam.

“Kenaikan struktur gaji ini dilaksanakan susulan keperluan sejak kali terakhir kenaikan tahunan berlaku 10 tahun yang lalu.”

“Kenaikan gaji ini menyebabkan kos tambahan keseluruhan RM18 bilion yang diperuntukkan pada tahun 2026,” tambahnya lagi.

Beliau menambah, dalam sektor pendidikan, kerajaan memberikan peruntukan sebanyak RM80 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebanyak RM50 juta demi menjaga kebajikan murid dan guru.

Pada masa yang sama, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan bantuan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada seluruh warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas sebanyak RM100 yang akan dikreditkan pada 9 Februari 2026.

SARA tahun ini (RM100) ini diperuntukkan untuk memudahkan persiapan bulan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina 2026.

Selain bantuan SARA 2026, kerajaan juga memberikan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 sebanyak RM500 kepada penerima warganegara Malaysia yang berkelayakan bermula 20 Januari 2026.

“SARA bulanan sehingga RM200 juga akan dikreditkan secara berperingkat menerusi MyKad penerima mulai 9 Januari 2026”, jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan inisiatif Jualan MADANI yang akan diadakan sebanyak tiga kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau menyatakan bahawa inisiatif tersebut diteruskan pada tahun ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap isu kenaikan harga barang.

“Walaupun kerajaan mengakui wujudnya  rintihan dan keresahan rakyat terhadap kenaikan harga barang, program Jualan  Rahmah MADANI pada tahun ini akan menawarkan harga yang lebih rendah antara 10 hingga 30 peratus melibatkan 600 DUN serta 40 lokasi di Wilayah Persekutuan”, ujarnya lagi.

 

Perdana Menteri, YAB Dato Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Perutusan dan Amanat Tahun Baharu 2026.
Kredit Foto: Facebook Rasmi Jabatan Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi