Diterbitkan pada 5 Januari 2026, 22:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik amanat tahun baharu YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan pengukuhan tadbir urus, integriti serta peningkatan mutu kerja penjawat awam demi kepentingan rakyat.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini, KPM menyatakan komitmen untuk menyahut seruan Perdana Menteri bagi memastikan akses pendidikan yang lebih saksama dan berkualiti untuk semua murid di Malaysia.

Kerajaan MADANI akan memberikan keutamaan kepada pembangunan infrastruktur pendidikan melalui beberapa langkah segera antaranya termasuklah mempercepat pelaksanaan projek pembangunan semula sekolah-sekolah daif di seluruh negara serta memperuntukkan sejumlah RM200 juta untuk Sekolah Agama, RM80 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), dan RM50 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Bagi meringankan beban ibu bapa, kerajaan turut meneruskan inisiatif Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 bagi setiap murid dengan peruntukan keseluruhan mencecah RM800 juta. Mulai tahun 2025, pemberian BAP telah diperluas untuk merangkumi semua pelajar Tingkatan Enam dan kerajaan turut meningkatkan bantuan khusus kepada murid Orang Kurang Upaya (OKU) dan program pendidikan khas.

KPM akan terus beriltizam untuk memperkasakan sistem pendidikan negara bagi memastikan setiap anak Malaysia mendapat manfaat daripada pembangunan yang direncanakan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi