Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) telah melancarkan inovasi bahan pendidikan kesihatan terbaharu, Carta Selak Penjagaan Gigi dalam Tulisan Braille “Feel The Smile“, bersempena dengan Sambutan Hari Braille Sedunia 2026.
Inisiatif yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) ini bertujuan untuk memperkasakan literasi kesihatan mulut dalam kalangan individu kurang upaya penglihatan di negara ini.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Ismail Md. Salleh, MAB, telah disempurnakan oleh Pengarah Kesihatan Negeri JKWPKL&P, YBhg. Datin Dr. Haliza Haji Abdul Manaf.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa akses kepada kesihatan mulut bukan sekadar mengenai estetika, tetapi merangkumi keupayaan individu untuk makan, bertutur dan berinteraksi sosial tanpa rasa sakit atau gangguan emosi.
Datin Dr. Haliza turut mendedahkan data kritikal yang membimbangkan mengenai tahap kesihatan mulut masyarakat, iaitu tujuh daripada 10 rakyat mempunyai persepsi salah bahawa mereka tidak mempunyai masalah gigi, menyebabkan rawatan hanya dicari apabila sudah mengalami kesakitan yang serius.
Carta Selak “Feel The Smile” merupakan manifestasi reformasi KKM yang kini beralih daripada konsep “penyembuhan penyakit” kepada “pencegahan penyakit”. Inovasi ini direka khusus untuk memenuhi keperluan komuniti cacat penglihatan melalui Kod Braille Gred 1 dan Gred 2 untuk kegunaan individu yang buta sepenuhnya serta bahan visual berwarna bagi membantu individu yang mempunyai penglihatan terhad (low vision).
Bagi mengurangkan kegelisahan pesakit semasa rawatan, KKM turut menggunakan teknik komunikasi klinikal yang membolehkan pesakit mengenali peralatan rawatan melalui sentuhan.
Langkah ini selari dengan aspirasi Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses kesihatan yang saksama.
YBhg. Datin Dr. Haliza turut menekankan slogan pencegahan kebangsaan, iaitu “Ingat Hari Jadi, Ingat Doktor Gigi”, bagi menggalakkan orang ramai melakukan pemeriksaan rutin sekurang-kurangnya sekali setahun pada bulan kelahiran masing-masing.
Selain pelancaran carta selak, majlis tersebut turut menyaksikan sokongan daripada Yayasan KIWANIS melalui pelancaran Pusat Pembelajaran Taktil bagi Kanak-kanak Buta di MAB bagi memperkukuh pembelajaran berasaskan sentuhan untuk kanak-kanak.
Dengan adanya inovasi seperti “Feel The Smile” dan pengukuhan perkhidmatan jangkau luar melalui Klinik Pergigian Bergerak, KKM berharap lebih ramai golongan berkeperluan khas dapat memanfaatkan perkhidmatan kesihatan pergigian demi kualiti hidup yang lebih sejahtera.