Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJeddah – Pelancong dari Arab Saudi dipelawa untuk memasukkan Perlis ke dalam jadual perjalanan mereka ke Malaysia bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026. Undangan ini turut dipanjangkan kepada diaspora Malaysia yang bermastautin di sana apabila pulang bercuti ke tanah air.
Demikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selepas baginda berkenan melancarkan Promosi Masakan Perlis berupa Kurma Daging Perlis yang diadakan di Restoran MyMakan yang terletak di Raoudat Al Khaleej Ar Rawdah, Jeddah, Arab Saudi.
Majlis promosi tersebut menyaksikan MyMakan yang diwakili Ketua Chef, Encik Hazrul Abdul Hamid, yang menerima Plak Perasmian Promosi Masakan Perlis sebagai simbol sokongan dan pengiktirafan terhadap usaha memperkenalkan warisan kulinari Perlis ke peringkat antarabangsa, termasuk di bumi Arab Saudi. Inisiatif ini turut mencerminkan usaha berterusan memartabatkan identiti negeri melalui diplomasi budaya dan gastronomi.
Inisiatif ini dianjurkan oleh restoran berkenaan dengan kerjasama Pejabat Konsul Haji Malaysia di Jeddah bersama-sama rakan strategik seperti YTSP Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), dan MAIPs.
Turut berangkat mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama ahli keluarga Diraja yang terdiri daripada Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Turut mengiringi usrah DiRaja ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Encik Radin Adi Hilmi Radin Shamsudin dan Naib Konsul, Tuan Haji Affandi Abdullah.
Dengan peningkatan kemudahan pelancongan sempena TMM 2026 hasil persediaan melalui kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026, Perlis kini semakin bersedia untuk menerima kunjungan pelancong antarabangsa, termasuk dari Timur Tengah dengan layanan mesra dan pengalaman yang berbeza.
Perlis menawarkan pengalaman pelancongan yang unik, iaitu menggabungkan kemudahan mesra Muslim dengan tarikan budaya dan alam semula jadi.
Perlis memiliki suasana yang sangat kondusif untuk pelancong Muslim dengan penekanan terhadap amalan dan persekitaran Islamik. Program seperti Perlis International Sunnah Convention yang bermula pada 31 Januari hingga 1 Februari 2026 dikendalikan dalam bahasa Inggeris dan Perkampungan Sunnah pada bulan Mei dalam bahasa Melayu adalah bukti komitmen negeri ini terhadap inisiatif pelancongan Islamik, untuk memastikan rasa selesa dan ketenangan fikiran bagi pengunjung Muslim.