Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Malaysian Press Institute (MPI) mengingatkan pengamal media supaya melaksanakan pelaporan berkaitan dengan bencana alam, tragedi dan isu kemanusiaan secara beretika, berfakta serta berperikemanusiaan, lebih-lebih lagi isu yang melibatkan situasi merentas sempadan negara.
Presiden MPI, YBhg. Datuk Yong Soo Heong berkata bahawa peranan media bukan sekadar menyalurkan maklumat, malah turut mempengaruhi kefahaman masyarakat, menjaga maruah mangsa serta memelihara keharmonian hubungan antara negara jiran.
Menurut beliau, dalam situasi krisis dan bencana, media tidak seharusnya terikut-ikut dengan emosi, sensasi atau naratif yang boleh mencetuskan kekeliruan serta salah faham.
“Pelaporan yang baik perlu berasaskan ketepatan fakta, kepercayaan dan kefahaman menyeluruh terhadap situasi sebenar di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas tentang kejadian bencana alam yang berlaku di Pulau Sumatera baru-baru ini, Datuk Yong berkata bahawa media perlu lebih berhati-hati dalam membentuk sudut pelaporan, khususnya berkaitan dengan pendirian kerajaan Indonesia yang memilih untuk tidak menerima bantuan luar negara.
Beliau menegaskan bahawa laporan yang seimbang dan berhemah penting bagi memastikan maklumat yang disampaikan tidak menimbulkan salah tafsir, selain membantu mengekalkan hubungan baik antara Malaysia dengan Indonesia yang berkongsi sejarah serta nilai serantau.
“Media tempatan juga perlu menunjukkan keprihatinan terhadap musibah yang berlaku di Aceh dan beberapa wilayah di Sumatera Utara, di samping menghormati keputusan dan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan Indonesia,” katanya.
Sehubungan dengan itu, MPI menggesa pengamal media agar mengamalkan pelaporan yang berteraskan empati, kepekaan dan rasa tanggungjawab bersama dalam menyampaikan berita berkaitan dengan bencana dan kemanusiaan.
MPI turut memaklumkan bahawa latihan profesional yang dilaksanakan oleh institusi itu sentiasa menekankan kepentingan memahami konteks lapangan, implikasi diplomatik serta tanggungjawab sosial media dalam liputan krisis dan tragedi.